Tuesday, August 18, 2009

Ahli UMNO tak akan masuk syurga

Ahli UMNO tak akan masuk syurga

BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Katanya, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.

"Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam di sini hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Pengundian ialah pada 25 Ogos ini. - BERNAMA




Islam Umno tidak masuk syurga: Mursyidul Am Pas

Oleh Fazli Abdullah, Anwar Hussin, Mohd Anwar Patho Rohman, Norakmah Mat Youb dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my

Nik Aziz samakan agama dibawa Umno seperti diamalkan di Palestin

BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, membuat tuduhan terbaru terhadap Umno dengan mendakwa Islam dibawa parti itu sama seperti Islam diamalkan di Palestin.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan dengan nada sinis, berkata ajaran Islam dibawa Umno sudah tentu tidak boleh membawa seorang Muslim untuk ke syurga.

"Ada perbezaan antara Islam dibawa Pas, berbanding Islam dibawa Umno kerana Islam mereka (Umno) tidak membawa ke mana-mana dan tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga.

"Atas perkara itu, saya percaya penduduk di Permatang Pasir akan memilih calon Pas (Mohd Salleh Man) sebagai wakil rakyat mereka, bukannya calon Umno (Rohaizat Othman)," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini, semalam.

Pengundian akan diadakan pada 25 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman, pada 31 Julai lalu kerana sakit jantung.

Sebelum ini, ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Nik Aziz pernah mengeluarkan kenyataan berbentuk tuduhan terhadap Umno dengan menyatakan parti itu sama seperti komunis.

Selain itu, beliau turut menyamakan Umno yang majoritinya dianggotai orang Islam seperti Ayah Pin, iaitu individu yang pernah menyebarkan ajaran sesat di Terengganu, beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, Nik Aziz tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Beliau sebaliknya menyalahkan pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

Kenyataannya itu dibidas pemimpin Umno antaranya Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Nik Aziz sanggup menghalalkan tindakan menghina Islam tanpa memikirkan sentimen orang lain hanya kerana pihak menghina adalah dari rakan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Nik Aziz menasihatkan parti bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir menjaga etika masing-masing dan tidak membuat serangan peribadi.

No comments: