Tuesday, August 18, 2009

Harapan calon Bebas bertanding berkecai

Harapan calon Bebas bertanding berkecai


KAMARUL Ramizu gagal serah borang pencalonan pada masa ditetapkan.

BUKIT MERTAJAM: Hasrat pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 43, bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini berkecai kerana gagal menyerahkan borang pencalonan dalam tempoh ditetapkan.

Beliau yang berpakaian serba hitam tiba di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di sini jam 9.50 pagi kerana mendakwa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di kawasan penyokong Pas.

"Ketika saya mahu menyerahkan borang pencalonan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya memaklumkan masa sudah tamat iaitu pada jam 10 pagi. Jadi, saya tidak dapat bertanding," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata, walaupun tidak dapat bertanding, beliau tidak kecewa kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya dan tidak akan berputus asa untuk menyertai pilihan raya lain pada masa depan.

"Saya mula bertolak ke pusat penamaan calon pada jam 6 pagi bersama-sama penyokong tetapi terperangkap dalam kesesakan sehingga terpaksa berjalan kaki kira-kira dua kilometer. Sebaik tiba masa sudah tamat," katanya.

Kamarul Ramizu berkata, jika beliau dibenarkan bertanding mungkin terpaksa berdepan dengan kesukaran berkempen pada Ramadan yang menuntut umat Islam supaya menambah amal ibadat.

Beliau juga menasihatkan kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dan Mohd Salleh Man dari Pas bertanding dengan cara berhemah dan menghormati Ramadan ketika mereka berkempen.

Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik ketika mengulas perkara itu, berkata Kamarul Ramizu sebenarnya masih boleh menghantar borang pencalonannya ketika sampai di pusat pencalonan.

"Beliau langsung tidak dihalang oleh pegawai kami yang menganggapnya mahu menghantar borang kerana beliau sudah membelinya, tetapi beliau mengambil keputusan untuk tidak menghantar borang ketika dalam dewan.

"Jadi, dakwaannya bahawa kami menghalangnya adalah tidak benar kerana beliau sebenarnya mempunyai masa tetapi tidak menghantar borang pencalonannya," katanya.

No comments: