Thursday, May 14, 2009

Zambry bertugas semula

Zambry bertugas semula

Oleh ZAINI RABAN
utusanperak@utusan.com.my


IPOH 13 Mei - Kemelut politik dan proses mahkamah berkaitan krisis perlembagaan negeri Perak tidak akan menghalang jentera kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) menjalankan urusan pentadbiran seperti biasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang memulakan semula tugasnya hari ini juga menegaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kestabilan politik dan mengutamakan aspek pembangunan ekonomi.

''Saya ingin menyatakan kepada pelabur dan seluruh rakyat di negara ini bahawa apa yang berlaku tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

''Kerajaan negeri dan pegawai terlibat akan membantu menyelesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi oleh pelabur, apabila ia berkaitan dengan urusan pentadbiran, kita akan laksanakan dengan betul dan serius," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Kedudukan Zambry sebagai Menteri Besar Perak terganggu seketika apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam membenarkan rayuan Zambry supaya keputusan itu ditangguhkan sehingga keputusan mengenai rayuan berkenaan diputuskan.

Ekoran itu, Mohammad Nizar yang hanya sempat masuk semula ke Pejabat Menteri Besar buat seketika semalam dan terpaksa keluar serta mengosongkan kembali pejabat berkenaan untuk memberi laluan kepada Zambry menjalankan tugas seperti biasa.

Menurut Zambry, semua pihak perlu sedar dan faham bahawa segala proses mahkamah yang berlaku itu dimulakan sendiri oleh Mohammad Nizar yang mencabar kedudukannya di mahkamah.

Justeru, katanya, biarlah urusan mahkamah itu kekal dan berterusan seperti biasa tanpa ada mana-mana pihak cuba mempertikaikan segala keputusan yang telah dan akan dibuat.

''Kita tidak mahu timbulkan kekeruhan sehingga membawa kepada berlakunya krisis di Perak.

''Tugas kita sebagai ahli politik adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan sebaik-baiknya.

''Jangan kita terus memainkan sentimen dan emosi rakyat dalam hal ini," katanya.

No comments: