Thursday, May 14, 2009

Abdul Hadi kekal jawatan Presiden Pas

Abdul Hadi kekal jawatan Presiden Pas


KUALA TERENGGANU: Kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas kekal walaupun hanya mendapat pencalonan 129 daripada 170 kawasan, berikutan seorang lagi calon, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak layak bertanding pada Muktamar Tahunan Jun ini, berikutan gagal meraih dua pencalonan kawasan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Mustapa Ali, berkata sehingga tarikh akhir pencalonan pada 8 Mei lalu, hanya 130 kawasan menghantar pencalonan mengikut masa ditetapkan, termasuk satu yang tidak mencalonkan bekas Menteri Besar Terengganu itu, sebagai Presiden parti.

Dalam laporan baru-baru ini, Pas kawasan Bukit Bintang mencalonkan Nik Abdul Aziz bertanding menentang Abdul Hadi, yang tidak pernah ditentang sepanjang menjawat jawatan berkenaan.

Mustapa berkata, pencalonan daripada 40 kawasan lagi dihantar kepada jawatankuasa itu selepas tarikh akhir tidak diambil kira.

"Namun, Abdul Hadi hanya akan sah kekal sebagai presiden jika beliau mengembalikan surat tawaran mempertahankan jawatan sebelum 25 Mei ini, yang mana surat tawaran kepada semua calon yang layak bertanding sudah diedarkan sejak 11 Mei," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tanpa mendedahkan mengenai persaingan bagi jawatan lain, Mustapa berkata, beliau akan mengumumkan senarai penuh calon bertanding untuk semua jawatan termasuk timbalan, naib presiden serta dewan pemuda, muslimat dan ulama pada 16 Mei ini di Kuala Lumpur.

Mustapa bagaimanapun mengakui saingan sengit berlaku untuk jawatan timbalan dan naib presiden, manakala 80 calon layak bertanding untuk merebut 18 tempat sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat parti.

Bagi jawatan tertinggi lain, Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok dikatakan akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Sementara itu, mengulas mengenai kemelut politik yang mentadbir kerajaan negeri Terengganu, Mustapa berkata, perpecahan dalam Umno sangat ketara hingga menjejaskan rancangan pembangunan negeri dan beliau tidak yakin Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai Ketua Perhubungan Umno negeri dapat menyelesaikan masalah itu.

No comments: