Skandal PKFZ: PAC panggil bekas menteri
KUALA LUMPUR 13 Mei - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan memanggil seorang bekas menteri untuk memberi keterangan berhubung skandal pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kepada pihak itu tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid bagaimanapun berkata, pihaknya hanya berbuat demikian jika siasatan mendapati wujud keperluan untuk mendapatkan keterangan lanjut daripada bekas menteri terbabit.
"Kalau perlu, PAC boleh panggil sesiapa saja," katanya ketika menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan itu pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar berkaitan kualiti audit di sini hari ini.
Projek PKFZ yang menelan belanja besar menimbulkan tanda tanya terutama apabila harga pembelian tanah mencecah RM1.088 bilion dan mengambil kira tempoh pembayaran balik 15 tahun pada kadar faedah 7.5 peratus setahun, kos keseluruhan pembelian tanah meningkat kepada RM1.807 bilion.
Kos keseluruhan PKFZ ialah RM4.6 bilion setelah mengambil kira pembelian tanah, kerja-kerja pembangunan dan faedah 7.5 peratus bagi bayaran tertangguh selama 10 tahun.
Tambah Azmi, pihaknya akan memanggil Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) untuk memberi kenyataan berhubung perkara itu.
Jelasnya, siasatan pihak beliau terhadap PKFZ terhenti sebelum ini kerana PKA terpaksa melalui proses pengauditan.
Beliau berkata, Proton Holdings Bhd. (Proton) pun memberi penjelasan berhubung tindakannya menjual pegangan saham dalam syarikat pengeluar motosikal Itali yang mengalami kerugian, MV Agusta kepada PAC.
"Saya bagaimanapun tidak diizinkan memaklumkan kepada media melainkan laporan itu masuk ke dalam Parlimen dulu," katanya.
Jelas beliau, hasil laporan berkaitan urus niaga Proton dan beberapa laporan lain lagi akan dibentang dalam sesi Parlimen yang seterusnya yang dijadual pertengahan bulan depan.
Proton menjual 57.75 peratus kepentingan dalam MV Agusta pada harga 1 Euro (RM5.14) tiga tahun lalu.
Mengenai cadangan agar harga tol untuk penggunaan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) dikurangkan, Azmi berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PAC seterusnya.
Namun, beliau berkata, cadangan penurunan itu perlu dilihat daripada semua aspek secara mendalam.
"Pada dasarnya di mana ada jalan tol itu, ada pula jalan alternatif, orang yang mengguna boleh pilih.
"Kalau tidak mahu bayar tol, boleh guna jalan alternatif, SMART memang ada jalan alternatif, saya selalu pergi sebelah (guna jalan alternatif)," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment