Thursday, May 14, 2009

Azizan putuskan bertanding selepas dapat surat tawaran

Azizan putuskan bertanding selepas dapat surat tawaran

ALOR SETAR 13 Mei - "Saya ada dengar dicalonkan untuk jawatan tertentu dalam Pas, tetapi hanya akan membuat keputusan selepas mendapat surat tawaran daripada parti."

Itu reaksi terbaru Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika ditanya sama ada beliau telah membuat keputusan untuk bertanding menjelang pemilihan Pas bulan depan.

Azizan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Pesuruhjaya Pas negeri Kedah berkata, buat masa ini, beliau tidak dapat membuat sebarang ketetapan kerana tidak mendapat surat tawaran daripada Jawatankuasa Pemilih parti.

"Saya tunggu dan tengok dulu apa yang berlaku nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau disebut-sebut sebagai salah seorang pemimpin Pas yang mendapat pencalonan dari kawasan-kawasan parti itu di seluruh negara untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Jika dicalonkan, Menteri Besar itu akan mencabar Nasharuddin Mat Isa dan dua lagi calon yang disebut-sebut iaitu dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Pengumuman senarai pemimpin yang mendapat pencalonan dari kawasan-kawasan Pas seluruh negara dijangka diadakan di pejabat parti itu di Kuala Lumpur pada 16 Mei ini.

No comments: