Thursday, May 14, 2009

Pemimpin diminta jangan tambah kekeliruan rakyat

Pemimpin diminta jangan tambah kekeliruan rakyat
Oleh Shamsul Kamal Amarudin
bhnews@bharian.com.my

Usah jadikan isu keruhkan suasana politik negeri: Zambry

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta pemimpin politik supaya tidak keterlaluan 'bermain politik' sehingga mengabaikan tanggungjawab memberi perkhidmatan kepada rakyat, selain menambahkan kekeliruan mereka.

Beliau juga meminta semua pihak menghormati proses mahkamah yang sedang berlaku sekarang dan tidak menjadikannya sebagai isu untuk mengeruhkan lagi suasana politik di negeri ini.


"Saya mohon perkara ini dilihat dalam konteks proses mahkamah apabila kedudukan saya sebagai Menteri Besar dicabar oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan biarlah proses itu berlaku sebaik-baiknya.

"Saya dan rakan dalam Barisan Nasional (BN) berusaha sebaik mungkin menjalankan tugas sebagai ahli politik iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan sebaiknya.

"Itu yang penting dan rakyat perlukan, kerana kita tidak mahu dibawa dan diseret keterlaluan dengan permainan politik yang tidak memberi hasil kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan pemimpin Pakatan Rakyat yang terus mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung kemelut politik di negeri ini.

Zambry berkata, kerajaan negeri yang ditadbir BN berfungsi seperti biasa dan sebarang keputusan mahkamah tidak akan menjejaskan pentadbiran serta komitmen kakitangan awam di negeri ini terutama dalam usaha memastikan pembangunan dan kemajuan ekonomi dilaksanakan seperti dirancang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pelabur agar tidak berasa gusar untuk melabur di negeri ini kerana krisis politik yang berlaku sekarang sama sekali tidak menjejaskan dasar dan insentif yang digubal kerajaan negeri selama ini.

"Apabila ia membabitkan perniagaan dan pelaburan, kami rakyat Perak mengalu-alukan kehadiran mereka. `Business as usual' (semuanya berjalan seperti biasa) di negeri ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat semalam membincangkan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi keutamaan terhadap projek memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Turut dibincangkan, katanya persetujuan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia untuk menghidupkan semula penerbangan dari LTSAS ke beberapa destinasi yang akan ditetapkan selain persetujuan syarikat Firefly turut beroperasi di situ.

No comments: