Permohonan Nizar ketepi perintah Isnin
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan perintah mahkamah itu, kelmarin yang menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkannya Menteri Besar Perak yang sah.
Mohammad Nizar yang memfailkan permohonan itu melalui firma Tetuan Leong & Tan pada jam 2.20 petang di Mahkamah Rayuan di sini, semalam, turut menyertakan sijil supaya kes itu disegerakan.
Permohonan Mohammad Nizar itu untuk mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan, kelmarin yang menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti dimohon Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Berikutan keputusan itu, Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga kes rayuannya diputuskan mahkamah pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Dalam permohonannya, Mohammad Nizar, 52, mahu Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah pelaksanaan itu dan secara alternatifnya memohon mahkamah meminda perintah berkenaan dengan memasukkan terma-terma yang difikirkan wajar.
Dalam afidavit sokongan, Mohammad Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan untuk memberikan perintah penggantungan itu kepada Zambry adalah salah dan beliau mengemukakan permohonan untuk membetulkannya.
Katanya, alasan Mahkamah Tinggi yang sudah dinyatakan ketika hakim memberikan keputusannya, Isnin lalu, menyebut oleh kerana tiada satu undi tidak percaya dalam DUN Perak terhadapnya sebagai Menteri Besar, tidak wujud keadaan hilang kepercayaan terhadap beliau mengikut Perkara 16(6) UTKP.
"Saya sesungguhnya percaya bahawa peruntukan Perkara 16(6) adalah sangat jelas dan Mahkamah Tinggi sudah secara betul melaksanakan interpretasi benar berkenaannya. Kes-kes sebelum ini juga menyokong interpretasi ini," katanya.
Mohammad Nizar juga berkata, jawatan Menteri Besar adalah untuk berkhidmat bagi rakyat dan jawatan itu adalah ‘an office of trust’, bermakna Menteri Besar memegang jawatan sebagai pemegang amanah bagi rakyat.
"Jawatan itu bukannya milikan sesiapapun secara peribadi dan Zambry mahupun saya tidak mempunyai hak peribadi terhadapnya. Walaupun demikian, Mahkamah Tinggi dengan jelasnya memutuskan saya adalah Menteri Besar yang sah dan oleh itu, tidak ada sebarang prejudis kepada perayu (Zambry) jika penggantungan tidak dibenarkan," katanya.
Ketepikan penangguhan didengar Isnin
PUTRAJAYA 13 Mei - Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, untuk mengetepikan perintah penangguhan yang diperoleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan beliau Menteri Besar Perak yang sah.
Notis usul permohonan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Leong & Tan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan pada pukul 2.20 petang.
Beliau memfailkan notis usul itu setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi kelmarin sehingga rayuan penuh terhadap keputusan itu selesai.
Semalam, Hakim Datuk Ramly Ali ketika membenarkan permohonan Zambry turut memerintahkan agar tarikh awal ditetapkan bagi mendengar rayuan tersebut. Sehingga petang ini, tiada sebarang tarikh ditetapkan.
Sementara itu, Mohammad Nizar dalam afidavit bagi menyokong permohonannya menyatakan, Hakim Mahkamah Rayuan mengeluarkan perintah penangguhan secara salah kerana kemungkinan beliau membaca alasan-alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi dengan cepat.
Menurut beliau, perintah penangguhan yang diperoleh Zambry harus diketepikan bagi mengelakkan pentadbiran kerajaan negeri Perak terganggu dan kestabilan politik semakin tergugat sehingga membawa kepada krisis perlembagaan yang lebih berpanjangan.
Katanya, jawatan Menteri Besar bukan milik peribadi dan jelas bahawa jika penggantungan pelaksanaan perintah tidak diberikan sekalipun, ia tidak akan menyebabkan prejudis kepada Zambry.
Kata Mohammad Nizar lagi, Zambry tidak diberikan keadaan-keadaan yang istimewa yang membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan kepadanya.
''Keadaan-keadaan istimewa berpihak kepada saya untuk terus melaksanakan tanggungjawab dan fungsi sebagai Menteri Besar dan mandat rakyat yang diberikan sebelum ini,'' ujarnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment