Thursday, May 14, 2009

UMNO gerak jentera penerangan

UMNO gerak jentera penerangan

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my


IPOH 13 Mei - Semua ketua penerangan UMNO bahagian perlu menggerakkan jentera masing-masing bagi menjelaskan pelbagai kekeliruan kepada rakyat terutama berhubung krisis politik di Perak.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenarnya apa yang berlaku.

''Saya minta semua ketua penerangan di setiap bahagian membabitkan Wanita, Puteri dan Pemuda supaya mengaturkan ceramah-ceramah penerangan di peringkat akar umbi bagi menjelaskan isu yang berlaku.

''Melalui penjelasan itu, rakyat akan mendapat gambaran yang jelas mengenai sesuatu isu, secara tidak langsung menangkis tohmahan dan dakyah parti-parti pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan kakitangan Biro Tata Negara (BTN) di sini hari ini.

Mengenai politik Perak, Ahmad berkata, UMNO perlu menjelaskan kepada rakyat tentang krisis yang berlaku kerana ia melibatkan masa depan.

''Jentera penerangan perlu mengadakan ceramah-ceramah kecil di peringkat akar umbi supaya apa yang berlaku berkaitan krisis ini tidak mengelirukan rakyat," katanya.

Politik di Perak makin rumit apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengemukakan rayuan untuk menangguhkan sementara keputusan tersebut dan diterima Mahkamah Rayuan di Putrajaya, semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rakyat perlu diberikan penerangan supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan sehingga boleh menggugat keharmonian negara.

Sementara itu, mengulas tentang siri penerangan yang dianjurkan, katanya, Perak merupakan negeri kedua mengadakannya selepas Melaka.

''Kita akan meneruskan siri penerangan ini di Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang," tambahnya.

No comments: