Thursday, May 14, 2009

Nik Aziz tolak kerajaan perpaduan

Nik Aziz tolak kerajaan perpaduan

KOTA BHARU 13 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk menolak pembentukkan kerajaan perpaduan dengan UMNO walaupun ia menjadi topik hangat menjelang muktamar agung parti itu, Jun ini.

Ia sekali gus menolak tanggapan pihak tertentu bahawa beliau menyokong cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang ditulis oleh anaknya, Nik Abduh dalam laman blognya baru-baru ini.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak percaya bahawa UMNO benar-benar ikhlas untuk bekerjasama dengan Pas.

"Tidak boleh, saya dengan UMNO, saya tidak percaya keikhlasan dia (UMNO) sebab dia telah tipu Pas masa dulu. Disebabkan itu, Pas telah berpecah kepada tiga ada yang sokong dan saya tergolong dalam orang yang menyokong masuk Barisan Nasional (BN), ada pula yang menjadi Hamim dan Berjasa.

"Apa jaminan mereka tidak akan 'tendang' kita lagi, bila kami 'ditendang' dulu, kami cuma jadi orang yang tolak kereta buruk UMNO, bila hidup kami ditinggalkan 'makan asap dan selut' dia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Nik Abdul Aziz bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat BN memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata dalam blog anaknya, Nik Abduh: ''Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.

''Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran misalnya. Kita nak jadi Perdana Menteri, mesti mereka tidak terima. Jadi, kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.''

Nik Abduh menjelaskan jawapan tersebut diungkapkan oleh bapanya ketika beliau membangkitkan soal penerimaan kerajaan BN dan pakatan pembangkang yang disifatkan kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam - ketika mereka berdua sedang berbual.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan itu diketengahkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac lalu, bagaimanapun ia ditentang oleh banyak pihak termasuk, Nik Abdul Aziz.

Pada bulan lepas, Abdul Hadi menarik balik cadangan tersebut dengan alasan kepimpinan negara telah bertukar dan pihaknya perlu melihat perkembangan terbaru sebelum ia diteruskan semula.

Isu pembentukan kerajaan perpaduan juga menjadi polemik berpanjangan menjelang pemilihan parti itu yang mana golongan pro-Anwar Ibrahim menolak cadangan tersebut, manakala golongan konservatif dilihat lebih terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau akan hanya menerima UMNO sekiranya parti itu menukar dasarnya kepada Islam.

"Tidak ada cara lain, kecuali UMNO tukar dasar daripada kebangsaan kepada Islam, saya akan sokong, kalau dia tukar dasar, tidak ada sebab kami hendak lawan Islam," katanya.

Tambahnya, Kelantan telah menunjukkan contoh kerajaan perpaduan kerana kakitangan kerajaan negerinya terdiri daripada pelbagai kaum.

No comments: