Thursday, May 14, 2009

Rompak rumah Setiausaha Politik

Rompak rumah Setiausaha Politik

Oleh arif nizam abdullah
utusanjohor@utusan.com.my

HUZAIMAH Yahya melihat barang-barang yang digeledah sekumpulan perompak warga Indonesia yang memasuki rumahnya di Kampung Sinaran Baru, Jalan Manggis, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 13 Mei - Mereka sempat menikmati juadah lazat - nasi ayam, kek coklat dan aiskrim selain minum air Kacip Fatimah!

Begitulah gelagat 'kurang ajar' empat daripada lima penjenayah yang memecah masuk rumah Setiausaha Politik kepada Menteri Pelajaran, Syahrin Md. Jamaludin di Kampung Sinaran Baru di Skudai di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, isteri Syahrin, Huzaimah Yahya, 33, yang tangannya diikat ketika itu hanya mampu memerhati tingkah laku penjenayah yang seolah-olah menjadikan rumahnya seperti rumah mereka sendiri.

Penolong Pendaftar di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai itu berkata, dua daripada penjenayah itu sempat menggeledah seluruh rumahnya, manakala dua lagi pula sibuk mencari makanan di dapur dengan membuka peti ais dan periuk.

Menurutnya, dia hanya mampu bertenang dan mengawal diri dengan menuruti arahan yang diberikan oleh kumpulan penjenayah berkenaan.

"Saya bersyukur kerana tidak diapa-apakan bersama tiga orang anak yang sedang tidur ketika itu. Saya sempat menasihati mereka (penjenayah) agar tidak membuat bising kerana bimbang akan mengejutkan anak-anak saya.

"Saya bimbang jika anak-anak terjaga, keadaan mungkin menjadi kecoh dan bising. Jika anak-anak saya tersedar, mereka mungkin akan trauma lebih teruk daripada orang dewasa," katanya yang sempat 'mengajar' penjenayah berkenaan menggunakan alat penggera dua kereta miliknya dan suami sebelum kenderaan itu turut digeledah oleh mereka.

Namun, kegembiraan kumpulan penjenayah tersebut tidak lama apabila sejam kemudian kesemua mereka berjaya ditembak mati oleh pasukan polis.

Kumpulan penjenayah itu maut setelah ditembak oleh sepasukan polis yang terserempak dengan mereka di susur keluar Jalan Seelong, menuju ke Lebuh Raya Pasir Gudang, kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa.

Penjenayah itu yang menaiki kereta Proton Waja milik mangsa bertindak agresif dengan mengacukan pistol dan mula menyerang polis dengan parang ketika disuruh berhenti.

Ketika kejadian, Syahrin yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO tiada di rumah kerana bertugas di Putrajaya, namun isteri dan tiga orang anaknya tidak diapa-apakan.

Huzaimah memberitahu, dia terjaga daripada tidur kira-kira pukul 2 pagi apabila menyedari terdapat beberapa 'lembaga' di hadapannya.

Dia yang ketika itu tidur bersama anak-anaknya di ruang tamu di bahagian dapur kemudian diikat pada tangan menggunakan tali leher anak sulungnya.

Katanya, selepas penjenayah itu meninggalkan rumahnya kira-kira pukul 3.10 pagi, dia berjaya meleraikan ikatan beberapa minit kemudian dan berjalan kaki sejauh 500 meter ke rumah ibu bapa mertuanya untuk meminta pertolongan.

"Saya mungkin bernasib baik kerana sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi kejadian sebegini memandangkan suami sering bertugas di luar daerah.

"Cuma semalam, saya terlupa mengunci pintu besi di belakang rumah - kecuaian yang tidak pernah saya lakukan selama ini," katanya yang hanya menyedari terdapat lima penjenayah yang memasuki rumahnya selepas kesemua mereka ditembak mati oleh polis.

Huzaimah memberitahu, kerugian membabitkan nilai yang kecil apabila hanya barang kemas, wang tunai, telefon bimbit, pemain cakera padat digital (DVD) dan permainan Play Station 2 dilarikan penjenayah.

Sementara itu, Syahrin, 33, ketika ditemui berkata, beliau memuji tindakan pantas anggota polis yang menyelesaikan kes itu dalam tempoh sejam.

Menurutnya, beliau mendapat panggilan telefon daripada adik ipar pukul 3.30 pagi dan gagal menghubungi isterinya untuk mengetahui maklumat lanjut berikutan telefon bimbit itu telah dilarikan penjenayah.

"Saya hanya dapat menghubungi jiran dan dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Johor berada di rumah saya ketika itu. Saya beranggapan kes ini serius dan terus ke lapangan terbang untuk menaiki pesawat pukul 7.30 pagi," katanya yang pernah mengalami kejadian pecah rumah dua tahun lalu.

No comments: