Thursday, May 14, 2009

Pas perlu ulama, profesional

Pas perlu ulama, profesional
Oleh Ismail Mat, Wan Faizal Ismayatim dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhkb@bharian.com.my

Nik Aziz yakin pemimpin parti boleh terajui ahli dunia, akhirat

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata tidak timbul isu ulama atau profesional yang dipilih sebagai pemimpin parti kerana gabungan dua latar belakang itu mampu mengukuhkan lagi kekuatan Pas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau yakin perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas, Jun ini akan memilih calon yang mampu memimpin parti dan ahlinya dalam urusan dunia hingga akhirat bagi semua peringkat jawatan.

"Zaman Nabi (Muhamad SAW) dulu hanya dia seorang yang alim. Yang lain semua profesional. Lama kelamaan ada gabungan antara ilmu Islam dan profesional.

"Ilmu akademik (profesional) ini yang menjadi dalil kepada kekuasaan Allah. Saya yakin perwakilan akan membuat pilihan pemimpin yang berkemampuan membawa dunia dan akhirat," katanya ketika ditemui selepas mengumumkan Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009 di Kota Darul Naim, semalam.

Isu pemimpin ulama dan profesional timbul apabila Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa bakal menghadapi pertandingan tiga penjuru pada pemilihan parti itu.

Difahamkan Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Umno, Nik Abdul Aziz berkata, beliau tetap menolak sebarang bentuk kerjasama termasuk berhubung cadangan kerajaan perpaduan, selagi Umno menolak dasar Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas selama ini.

Katanya, Umno juga tidak dapat memberi sebarang jaminan yang Pas tidak akan disingkirkan, apabila Umno dan Barisan Nasional (BN) kembali kuat.

Katanya, berdasarkan pengalaman lalu, kerjasama dengan Umno menyebabkan perpecahan dalam Pas, hingga tertubuhnya beberapa parti serpihan, hingga ia terpaksa mengambil masa yang lama untuk membaik pulih keadaan.

Walaupun mengakui wujud perbezaan dasar perjuangan di kalangan parti yang menyertai Pakatan Rakyat, namun beliau menghormati perbezaan itu selagi parti dalam pakatan itu menyokong dan menerima dasar perjuangan Pas.

"Itu dia punya pasal (perbezaan dasar perjuangan), bukan parti saya, tapi dia sokong Pas, saya Alhamdulillah," katanya menjawab pertanyaan kesediaan Pas membentuk kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Sementara itu, Dewan Ulama Pas bercadang mengemukakan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu, hanya diisi pemimpin bertaraf ulama, pada muktamar yang akan berlangsung di Shah Alam, bulan depan.

No comments: