Thursday, May 14, 2009

Peter Pang dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah

Peter Pang dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah


KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Peter Pang En Yin, semalam dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah menggantikan Datuk Raymond Tan Shu Kiah dalam rombakan kecil Kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Pengumuman itu dengan sendirinya mengakhiri teka-teki kedudukan Tan yang bergerak tanpa parti selama sembilan bulan sejak keluar daripada Parti Maju Sabah (SAPP), berikutan tindakan parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN), September lalu.

Beliau dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 3 Mei 2007 apabila penyandang terdahulu, Tan Sri Chong Kah Kiat, meletak jawatan.

Tan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Papat, kemudian memilih menyertai Gerakan minggu lalu.

Musa bagaimanapun mengekalkan bekas timbalannya itu dalam Kabinet negeri sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian, bertukar daripada portfolio lama selaku Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Kabinet Sabah mempunyai tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Joseph Pairin Kitingan yang mewakili masyarakat Bumiputera bukan Islam; Datuk Yahya Hussin (Bumiputera Islam) dan Pang selaku wakil masyarakat Cina.

No comments: