Thursday, May 14, 2009

Rebutan dalam Pas ketara

Rebutan dalam Pas ketara

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my


MACHANG 13 Mei - Perebutan kuasa dalam Pas semakin ketara sehingga ada individu sanggup memberikan 'hadiah' kepada perwakilan untuk mendapat sokongan.

Perkara ini diakui oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang menganggap situasi tidak sihat itu mula menular di kalangan pemimpin Pas yang inginkan kuasa.

Justeru, beliau meminta para perwakilan yang bakal hadir pada Muktamar Agung Pas nanti menolak pemimpin yang mengamalkan sikap seperti itu.

"Situasi kurang sihat ini sedang berlaku kerana banyak perebutan jawatan dalam parti yang sebelum ini tidak terjadi sama sekali.

"Perebutan jawatan ini memang biasa tetapi ada yang sampai buat jamuan dan bagi baju kepada perwakilan untuk melobi. Kalau macam tu menanglah dia," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan di sini hari ini.

Perebutan jawatan dalam parti itu pada Muktamar Agung Pas kali ini dilihat sengit apabila semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden terbuka untuk ditandingi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menyatakan keterbukaannya jika ada sesiapa ingin mencabar beliau untuk merebut jawatan yang disandangnya itu.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu telah menyatakan pendirian untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu manakala penyandang jawatan yang sama Datuk Husam Musa pula membayangkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang 'hubungan sulit' Pas-UMNO.

Selain perebutan jawatan, Pas turut masih mencari kata putus sama ada parti itu perlu kekal diterajui oleh golongan ulama atau pun turut dibuka kepada golongan profesional.

Walaupun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyokong supaya parti itu kekal dipimpin oleh golongan ulama namun terdapat pelbagai pihak yang menentang.

Dalam pada itu Mohamed Daud berkata, tindakan individu-individu yang hanya mahukan kuasa ini perlu dihentikan segera sebelum menjadi lebih teruk.

"Memanglah dah bagi baju, dah kenyang tetapi budaya ini sangatlah tidak sihat dan kita mahu ia dihentikan segera.

"Sebab itu semua perwakilan perlu melantik pemimpin berdasarkan pilihan yang rasional," tambahnya.

No comments: