Thursday, May 14, 2009

Hormati undang-undang negara

Hormati undang-undang negara

MELAKA 13 Mei - Pakatan pembangkang diminta menghormati undang-undang negara dan menerima keputusan Mahkamah Rayuan semalam menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Mohammad Nizar sewajarnya bersikap gentleman seperti yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir apabila beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin.

''Apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memihak kepada Mohammad Nizar, pakatan pembangkang dapat menerima sistem kehakiman negara, tetapi apabila keputusan sebaliknya, pendirian mereka berubah.

''Kita ada kerukunan dalam negara iaitu peraturan dan kenapa mereka tidak dapat menerima dalam keadaan yang sama sebagaimana yang dilakukan oleh Zambry," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan berkelompok cawangan-cawangan UMNO dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Dewan Japerun Sungai Udang di sini malam tadi.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dengan keputusan itu, status quo Zambry sebagai Menteri Besar Perak kekal sehingga rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) semalam diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.

Mengulas lanjut Razali berkata, adalah tidak wajar apabila moral cuba diketengahkan oleh pakatan pembangkang hingga menafikan undang-undang dan peraturan yang telah diterima pakai sejak dahulu.

''Moral tidak boleh dijadikan sebagai pegangan kita dalam membina kerukunan dalam negara. Dalam negara kita, masih ada undang-undang yang diterima pakai dan wajar kita semua menghormatinya," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan pakatan pembangkang menghadapi situasi itu dengan bijaksana dan berhati-hati.

''Saya harap seluruh rakyat Perak termasuk penyokong dan pemimpin semua sekali yang terlibat agar mematuhi undang-undang kerana jika kita tidak tunjukkan teladan yang baik, siapa yang nak jaga negara kita selepas ini kalau ada rakyat mula mengambil tindakan dalam tangan masing-masing," katanya.

No comments: