Friday, May 22, 2009

Zaki sedia cabar Nasrudin rebut Ketua Dewan Pemuda Pas

Zaki sedia cabar Nasrudin rebut Ketua Dewan Pemuda Pas


KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Muhammad Zaki Ibrahim, sedia mencabar Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan bagi merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas pada muktamar bulan depan.

Menurut sumber, Muhammad Zaki akan mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan itu dalam masa terdekat ini. Jawatan terbabit dikosongkan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, bakal menyaksikan pertembungan dua kumpulan utama dalam Pemuda Pas.

Bagaimanapun Muhammad Zaki yang dihubungi semalam berkata, beliau akan menyerahkan surat jawapan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pas pusat selewat-lewatnya Isnin ini terhadap pencalonan beliau bagi jawatan penting sayap parti itu.

"Saya akan menyerahkan surat jawapan pada hari terakhir, tunggu dan lihatlah keputusan saya itu. Buat masa ini saya belum menerima apa-apa surat lagi daripada jawatankuasa pemilihan parti dan kekuatan sahabat saya (Nasrudin) juga perlu dilihat sebelum membuat sebarang keputusan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Ditanya mengenai dakwaan segelintir pengendali blog penyokong Pas yang menyifatkan beliau sebagai anak didik Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, beliau tidak menafikan pernah belajar dengan Husam dan cukup mengagumi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu.

Beliau berkata, sejarahnya dengan Husam bermula ketika Naib Presiden Pas itu menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas lagi dengan beliau yang ketika itu menjadi ahli jawatankuasa kerja Pemuda Pas banyak menimba ilmu serta pengalaman daripadanya.

"Cara kerja, cara berpolitik dan kehebatan beliau (Husam) cukup saya kagumi, jadi tidak salah jika saya belajar pelbagai ilmu dengannya. Malah, pimpinan Pas Pusat juga meletakkan harapan besar kepada beliau dan saya yakin dengan kemampuannya.

"Untuk kebaikan bagi memantapkan ilmu politik dan pentadbiran, saya juga belajar daripada ramai tokoh Pas. Dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob pun saya belajar," katanya.

No comments: