SPR kuat kuasa larangan kempen hari mengundi
Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
Pilihan raya kecil Penanti jadi perintis laksana peraturan
BUTTERWORTH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjadikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti sebagai perintis pelaksanaan penguatkuasaan larangan berkempen pada hari pengundian.
Menerusi penguatkuasaan Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, parti atau individu tidak boleh berkempen pada hari pengundian dengan pelbagai cara termasuk memakai lencana mempunyai logo atau menganjurkan persembahan serta keramaian berbentuk kempen.
Setiausahanya, Datuk Ngah Senik, berkata mereka yang ingkar akan ditahan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.
Katanya, larangan yang diluluskan sejak 2003, dikeluarkan selaras dengan arahan SPR melarang parti politik mendirikan pondok panas, sebaliknya hanya meja semakan daftar pemilih.
"Bagi mengelak ada cubaan memujuk atau berkempen seperti dijanjikan oleh parti yang membantah larangan mendirikan pondok panas dalam pertemuan baru-baru ini, kami akan melaksanakan peraturan larangan berkempen.
"Larangan itu memang ada tetapi tidak pernah dilaksanakan kerana kami berkompromi dengan semua parti bertanding. Tetapi, kali ini SPR tidak akan bertolak ansur lagi," katanya pada majlis taklimat media di sini, semalam.
Larangan pelaksanaan sistem `barung' atau pondok semakan daftar pemilih yang dikendalikan parti politik yang sudah diluluskan sejak 2003, juga akan mula dilaksanakan pada pilihan raya kecil DUN Penanti.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, kira-kira seminggu selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Selain memberi alasan untuk melanjutkan pelajaran, Fairus berkata, beliau bertindak demikian untuk membersihkan nama daripada segala tohmahan rasuah. Namun, akhir bulan lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa Mohammad Fairus.
SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 31 Mei.
Ditanya mengenai kos bagi mengendalikan pilihan raya kecil Penanti, Ngah berkata, SPR memperuntukkan RM500,000, antaranya akan dibelanjakan untuk menampung pengangkutan dan elaun kakitangan seramai 450 orang.
Beliau juga memberi jaminan daftar pemilih yang digunakan pada pilihan raya kecil itu bersih dan tiada pengundi hantu seperti yang sering didakwa pelbagai pihak terutama Pakatan Rakyat.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment