SIS mohon batal perintah haramkan buku terbitannya
KUALA LUMPUR 21 Mei – Ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan sebuah buku terbitan Sisters In Islam (SIS) pada Disember 2008, pertubuhan itu berusaha membatalkan perintah tersebut.
SIS bersandarkan hujah bahawa buku berjudul Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremism adalah himpunan pelbagai esei antarabangsa dalam mesyuarat meja bulat yang berlangsung di Itali dari 30 September hingga 2 Oktober 2003.
Justeru itu, SIS berpendapat bahawa buku tersebut adalah relevan dijadikan sumber rujukan, bahan pendidikan ahli akademik, penyelidik di universiti dan pembuat dasar, aktivis serta orang awam di seluruh dunia.
SIS yang diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar ketika berhujah di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini mempersoalkan mengapakah perintah pengharaman buku itu tidak dimaklumkan secara bertulis kepada mereka, malahan kata Malik, pihaknya hanya mengetahui pengharaman buku tersebut menerusi laporan media.
Setelah SIS menghubungi kementerian berkenaan pada 15 Ogos tahun lalu, barulah surat pemberitahuan pengharaman dihantar melalui faksimile, ujar peguam itu.
Malik berhujah demikian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Ariff Mohd. Yusof dalam usaha mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan perintah pengharaman Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Permohonan mengikut Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi itu difailkan pada 15 Disember tahun lalu.
SIS selaku pemohon menamakan Datuk Seri Syed Hamid Albar yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu sebagai responden dalam permohonan tersebut.
Menurut Malik, pengharaman itu berkuat kuasa mengikut Seksyen 7 Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 atas alasan memudaratkan ketenteraman awam.
Peguam itu berkata, pegawai responden memaklumkan kepada pemohon bahawa pengharaman dibuat berdasarkan garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Namun begitu, dakwanya, pihak yang berkenaan tidak menyertakan sebarang maklumat dan alasan pengharaman mahupun menyertakan satu salinan perintah tersebut.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment