Friday, May 22, 2009

Tiada kes untuk dakwa Azalina rasuah: SPRM

Tiada kes untuk dakwa Azalina rasuah: SPRM


MEMBAKUT: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang dikatakan terbabit dalam rasuah mendapati tiada kes untuk mendakwa beliau.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan terhadap Azalina yang dilengkapkan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati tiada aspek yang membolehkan bekas menteri itu dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, ada kemungkinan pihak lain yang turut terbabit dalam siasatan terhadap kes Azalina yang dikatakan menyalah guna kuasa dan penyelewengan pengagihan projek kementerian itu, boleh dikaitkan dengan dakwaan terbabit.

"Tiada kes terhadap beliau (Azalina) tetapi ada kemungkinan ia membabitkan orang lain," katanya pada sidang media selepas menutup program Jati Diri Rakan Muda anjuran SPRM, Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Belia dan Sukan, di Pusat Latihan Membakut, di sini, semalam.

Program bertujuan memupuk budaya membenci rasuah itu disertai 148 pelajar institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS) dan pelbagai pertubuhan belia. Hadir sama, Pengarah BTN Sabah, Datuk Ibrahim Saad.

Bagaimanapun, Ahmad Said enggan mengulas lanjut sama ada pihak lain yang dimaksudkannya itu adalah pegawai Kementerian Pelancongan atau dua pegawai kanan Azalina yang pernah diambil keterangan oleh SPRM berkaitan isu berkenaan Mac lalu.

Siasatan terhadap dakwaan Azalina terbabit dalam rasuah dijalankan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Mac lalu.

Pada 12 Mac lalu, akhbar melaporkan SPRM merampas sejumlah fail dan menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Dua pegawai kanan Azalina turut ditahan SPRM, tetapi dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Bagaimanapun, pada awal April lalu, Azalina menyelar SPRM dengan mendakwa organisasi berkenaan melengahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.

Beliau dilaporkan berkata, SPRM dilihat berdiam diri tanpa memberi sebarang alasan terutama selepas selesai Perhimpunan Agung Umno hujung Mac lalu yang menyaksikan beliau tewas dalam merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Azalina menggesa SPRM segera menyiapkan siasatan dan jika tiada kes yang membolehkan beliau didakwa, kes berkenaan harus digugurkan segera.

No comments: