Friday, May 22, 2009

Azizan mahu kes tuntutan melampau Exco disiasat

Azizan mahu kes tuntutan melampau Exco disiasat
Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my

Pejabat Kewangan Negeri Kedah diarah kemuka rekod

ALOR SETAR: Pejabat Kewangan Negeri Kedah diarah mengemukakan segala rekod tuntutan oleh Exco kerajaan negeri yang didakwa membuat tuntutan elaun melampau sejak 13 bulan sehingga Mac lalu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Azizan berkata, beliau juga mengarahkan supaya kes itu diteliti pejabat kewangan negeri bagi menentukan sama ada tuntutan itu mengikut peraturan ditetapkan atau sebaliknya.

Katanya, beliau akan bertemu dengan Exco itu yang kini berada di luar negara atas urusan tertentu sebelum melanjutkan siasatan bagi menyelesaikan kes itu dalam masa terdekat.

"Kita sudah kenal pasti siapa yang dimaksudkan, tetapi tidak adil untuk saya mendedahkannya kerana kita masih meneliti dan menyiasat kes ini.

"Kita mahu tentukan dulu sama ada tuntutan dibuat mengikut peraturan kerana ia mungkin tidak melanggar undang-undang walaupun saya sentiasa menegaskan kita mengamalkan perbelanjaan berhemah.

"Ada kemungkinan juga ia permainan politik pihak tertentu untuk menggugat imej kerajaan negeri, tetapi kita tetap akan mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti benar Exco berkenaan melakukan kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, jika terbukti benar Exco terbabit melakukan kesalahan dan kes itu ada asas, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang.

Semalam akhbar ini melaporkan kerajaan Kedah akan menyiasat seorang ahli Exconya yang didakwa membuat tuntutan elaun sampingan melampau sehingga mencecah RM148,000 dalam masa 13 bulan sehingga Mac lalu.

Azizan dilaporkan berkata, perkara itu akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Saya sudah dimaklumkan mengenai perkara ini oleh seorang pegawai saya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan seorang penulis menggelar dirinya sebagai penyiasat persendirian dalam laman blog kedahlanie.blogspot.com mengenai Exco itu, yang dikatakan membuat lawatan selama 219 hari termasuk 36 perjalanan ke Langkawi dengan tempoh menginap selama tiga hingga empat hari pada setiap kali lawatan.

Menurut penulis itu, Exco berkenaan menerima gaji dan elaun tetap berjumlah RM16,500 sebulan, tetapi pendapatan puratanya mencecah RM28,000 sebulan dengan bulan tertinggi RM34,601 dan terendah sekitar RM17,000 sebulan.

Tuntutan elaun penginapan Exco itu sejak Mac tahun lalu saja mencecah lebih RM25,000.

No comments: