Lebih 12,000 pembaca ikuti liputan langsung BH Online
KUALA LUMPUR: Lebih 12,000 pembaca termasuk di luar negara mengikuti liputan langsung Berita Harian Online (BH Online) kes Nizar lawan Zambry menerusi perisian 'CoveritLive' dari jam 8 pagi hingga 5.49 petang semalam.
Liputan hampir 10 jam kes rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah dari Kompleks Istana Kehakiman, di Putrajaya itu diikuti 12,772 pembaca.
Sepanjang tempoh itu, mereka memberi 4,552 ulasan, manakala pengendali dan wartawan bertugas, Khirul Bahri Basaruddin dan Zef Othman pula memberikan 98 ulasan perkembangan terkini kes berkenaan.
Pembaca liputan lintas langsung itu juga menikmati 15 foto dan satu klip video suasana terkini di luar mahkamah yang dihantar terus menerusi telefon bimbit wartawan di lokasi.
BH Online adalah satu-satunya media baru membuat liputan langsung sedemikian dalam usaha memberi maklumat terkini kepada pembaca sejajar perkembangan teknologi internet.
Liputan langsung BH Online akan diteruskan hari ini mulai 2.45 petang apabila Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan kes berkenaan.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment