Friday, May 22, 2009

Keputusan siapa MB Perak hari ini

Keputusan siapa MB Perak hari ini

Oleh Khirul Bahri Basaruddin
bhnews@bharian.com.my


PEGUAM pemerhati, Datuk Mohd Hafirizam Harun (kiri) Mohd Reza Hassan (kanan) serta Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin (belakang kanan) hadir di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan hari ini berhubung rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengetepikan perisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Persidangan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Raus Mohd Shariff bersama Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Zambry, Mohammad Nizar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Abdul Gani Patail yang bertindak sebagai pencelah

Raus berkata, mahkamah akan membuat keputusan pada jam 3.30 petang ini selepas meneliti hujah lisan dan bertulis dikemukakan peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham, peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah serta Abdul Gani.


Sebelum prosiding bermula pagi semalam, Sulaiman mencadangkan rayuan Zambry didengar dulu oleh mahkamah dan berhubung permohonan mengetepikan keputusan penangguhan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi bergantung kepada keputusan hari ini.

Cecil yang memulakan hujah memberitahu mahkamah, pihaknya akan menunjukkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Rahim tersilap ketika membuat tafsiran mengenai Undang-Undang Tubuh Negeri Perak serta mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Katanya, Abdul Aziz memutuskan Mohammad Nizar mengadap Sultan Perak untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri mengikut Perkara 36 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak selepas timbul kebuntuan kedudukan parti dalam DUN Perak.

Beliau berhujah kesimpulan oleh hakim itu salah kerana tidak disokong keterangan semasa serta dokumen yang dikemukakan ketika perbicaraan dulu.

"Sebenarnya, Mohammad Nizar mengadap Sultan selepas kehilangan sokongan majoriti ahli DUN dan beliau sendiri mempunyai pengetahuan surat Speaker Perak berhubung kekosongan tiga kerusi DUN Perak ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sehubungan itu, Mohammad Nizar memohon pembubaran DUN berdasarkan kepada Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang memperuntukkan Sultan mempunyai budi bicara mutlak untuk menolak permintaan itu serta keputusan baginda itu tidak boleh dihakimi dan disemak mana-mana mahkamah," katanya.

Cecil berhujah selepas Sultan menggunakan budi bicara itu, kedudukan Mohammad Nizar hilang dan beliau perlu meletak jawatan sebagai menteri besar, sekali gus tidak boleh meneruskan tugasnya serta mengetuai kerajaan minoriti.

Sehubungan itu, Sultan tidak pernah memecat Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak kerana beliau kehilangan jawatan berdasarkan peruntukan undang-undang tubuh itu.

Beliau berkata, Sultan mempunyai kuasa melantik ahli DUN yang pada pertimbangan baginda mendapat sokongan majoriti ahli DUN dan pelantikan itu muktamad serta tidak boleh dihakimi mana-mana mahkamah.

"Sultan melantik seseorang sebagai Menteri Besar mengikut Perkara 12 dan 16 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Oleh itu, pelantikan Zambry pada 6 Februari lalu adalah sah dan mengikut undang-undang. Zambry mengangkat sumpah di depan Sultan serta menerima surat pelantikan daripada baginda sekali gus Mohammad Nizar tidak mempunyai asas menyaman Zambry," katanya.

Gani yang menyokong hujah Cecil memberitahu mahkamah Mohammad Nizar kehilangan majoriti apabila jumlah ahli DUN Barisan Nasional (BN) 28 kerusi dan Pakatan Rakyat 27 kerusi kerana Speaker tidak boleh mengundi pada sidang DUN.

Katanya, apabila Sultan tidak perkenan permohonan pembubaran DUN, Mohammad Nizar tidak boleh meneruskan tugas sebagai Menteri Besar kerana ia bercanggah sistem demokrasi disebabkan beliau mengetuai kumpulan minoriti.

Sehubungan itu, katanya, Mohammad Nizar dan ahli Exco perlu meletak jawatan bagi mengelak keadaan kelam kabut di negeri Perak.

Sulaiman yang menjawab hujah Cecil dan Gani berkata, Perlembagaan Persekutuan dan negeri tiada peruntukan khusus berhubung kuasa Sultan memecat Menteri Besar.




Zambry atau Nizar?

Oleh NORLIZAH ABAS dan
SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 21 Mei - Keputusan sama ada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir atau Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin diisytiharkan kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan, esok.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Md. Raus Shariff memutuskan demikian setelah mendengar rayuan Zambry terhadap perisytiharan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo Mohammad Nizar selaku Menteri Besar yang sah.

Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Zambry merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu yang mengesahkan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman pemimpin itu.

Alasan-alasan penghakimannya antara lain menyatakan, Mohammad Nizar masih Menteri Besar yang sah kerana tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya.

Selain itu, Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 tidak menyatakan bahawa seseorang Menteri Besar boleh dipecat atau jawatan itu boleh dikosongkan dalam keadaan beliau tidak meletak jawatan.

Bagaimanapun, pada esoknya, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali membenarkan permohonan Zambry agar perintah Mahkamah Tinggi itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan penuh diputuskan.

Mohammad Nizar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan yang diperoleh Zambry.

Panel tiga hakim hari ini bersetuju untuk mendengar rayuan Zambry terlebih dahulu manakala permohonan Mohammad Nizar bagi menangguhkan perintah Mahkamah Rayuan akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry berhujah, Hakim Mahkamah Tinggi gagal mentafsir UTKNP dengan betul ketika mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah.

Menurutnya, kegagalan membuat tafsiran dengan tepat berhubung kuasa mutlak Sultan menjadikan keputusan dan perintah yang dikeluarkan oleh hakim berkenaan dengan sendirinya tidak lengkap, tidak betul dan tidak selamat.

Beliau menyatakan, Perkara 16(6) UTKNP jelas menyatakan, Sultan mempunyai budi bicara mutlak menolak permohonan Mohammad Nizar untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadikan keputusan itu tidak boleh dicabar dan disemak di mahkamah.

Abraham berhujah, peruntukan undang-undang itu menunjukkan Mohammad Nizar tidak dipecat sebaliknya beliau harus meletak jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak lagi mempunyai hak memimpin kerajaan negeri.

''Perkara 16(6) jelas menyatakan Sultan mempunyai budi bicara mutlak melantik Menteri Besar dan Ahli DUN yang pada pandangan baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan,'' hujah beliau.

Sehubungan itu, Abraham menghujahkan, Hakim Mahkamah Tinggi tersilap mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah kerana pelantikan Zambry pada 6 Februari lalu tidak boleh dicabar dan dihakimi kerana ia dibuat selaras dengan Perkara 12 dan Perkara 16(6) UTKNP.

Beliau selanjutnya menyatakan, Perkara 16(6), Perkara 18 dan Perkara 36(2) UTKNP sepatutnya dibaca dan ditafsir secara keseluruhan dengan meneliti fakta dan dokumen bertulis yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Menurut beliau, hakim berkenaan turut gagal menilai secara terperinci konflik yang timbul di antara keterangan lisan di mahkamah dengan keterangan saksi yang dikemukakan secara afidavit.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika berhujah selaku pencelah bagi kerajaan Malaysia pula menolak bahawa krisis perlembagaan di Perak menemui jalan buntu seperti yang didakwa Mohammad Nizar.

Beliau menghujahkan, senario tanpa majoriti '28-28' di antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) dalam sidang DUN tidak berlaku kerana Speaker, V. Sivakumar hanya dibenarkan membuang undi bagi mengimbangi ketidaksamarataan itu.

''Jelas bahawa pakatan hanya mempunyai 27 ahli Dewan dan ini tidak termasuk tiga ADUN Bebas, jadi tiada berlaku 'jalan buntu' sehingga membolehkan sidang DUN dibubarkan,'' ujar Abdul Gani.

Sementara itu, Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berhujah, pihaknya bukan mencabar bidang kuasa mutlak Sultan Perak bagi membubarkan sidang Dewan.

Sebaliknya, pihaknya mempertikaikan adalah tidak adil bagi Mohammad Nizar mengosongkan jawatan sedangkan tiada sokongan undi tidak percaya dibuat terhadapnya.

No comments: