Berhenti bersikap negatif
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 21 Mei - Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) mengingatkan rakyat supaya tidak bersikap negatif terhadap negara sendiri kerana keadaan Malaysia lebih baik berbanding negara lain.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, rakyat tidak akan mengecapi kemakmuran sekiranya terus memperlekeh usaha kerajaan BN untuk membangunkan negara.
"Sudah tiba masanya kita berhenti bersikap negatif. Banyak perkara elok yang sudah kita nikmati hasil usaha kerajaan BN sebelum ini.
"Wanita BN amat berbangga dengan apa yang telah diusahakan dan sudah tentu kita akan terus membantu kerajaan untuk mencapai yang lebih baik," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Exco Wanita BN di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Wanita parti komponen BN, antaranya Ketua Wanita MCA, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Wanita MIC, Datin Paduka P. Komala Devi.
Dalam pada itu, Shahrizat berkata, Wanita BN menyokong penuh keputusan pemimpin tertinggi BN untuk tidak meletakkan calon bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.
"Kita tidak lagi mahu menerima kesan akibat masalah dalaman yang pembangkang sendiri cetuskan. Wanita BN sendiri marah dengan taktik pembangkang kerana seolah- olah mahu BN mengikut permainan mereka.
"Bukan masalah BN dayus atau tidak kerana tidak bertanding. BN memikirkan rakyat dan tidak mahu apa yang dilakukan pembangkang ini menyebabkan rakyat susah," katanya yang pertama kali mempengerusikan mesyuarat itu.
Katanya, keputusan BN itu akan menghalang pembangkang daripada terus mempergunakan rakyat dalam agenda mereka untuk mendapatkan kuasa melalui pilihan raya kecil.
Sementara itu, Shahrizat berkata, Wanita BN akan memperjuangkan semua isu berkaitan wanita, keluarga dan masyarakat dalam setiap program yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
Katanya, ia adalah selaras dengan konsep Satu Malaysia dan Wanita BN akan memberi keutamaan pada peringkat akar umbi bagi melaksanakan program yang telah digariskan itu.
Beliau berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi melaksanakan program tersebut dan Mei Fun akan menjadi penyelarasnya.
"Kita akan mula turun ke negeri-negeri bagi menjayakan program yang telah dirancang secepat mungkin," katanya.
Walaupon Malaysia lebih baik, tak bermakna Malaysia tak perlu dikritik
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment