Friday, May 22, 2009

Jalan ditutup sempena penamaan calon

Jalan ditutup sempena penamaan calon


GEORGETOWN: Beberapa jalan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Penanti, Bukit Mertajam akan ditutup sempena penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, esok.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu akan diadakan di Dewan Perdana IKBN.

Ketua Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Wari Kiew, berkata penutupan jalan akan dilakukan mulai jam 6 pagi hingga 1 petang atau sehingga selesai proses penamaan calon.

Jalan yang terbabit ialah Jalan Berapit di hadapan Tanah Perkuburan Cina Berapit dan Simpang Tiga Jalan Berapit/Jalan Mengkuang.

Berikutan penutupan laluan itu, beberapa lencongan dilakukan. Kenderaan dari Bukit Mertajam/Banda Perda akan dilencong ke Jalan Abdul Kadir atau Jalan Tok Elong ke Jalan Tanah Liat-Jalan Permatang Nibong-Kubang Semang-Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).

Lencongan juga dilakukan bagi kenderaan dari arah Kulim atau BKE akan dilencong di Simpang Tiga Jalan Mengkuang/Jalan Berapit ke Jalan Mengkuang-BKE atau Jalan Mengkuang ke arah Kulim.

"Kami menjangkakan 25,000 orang akan membanjiri kawasan penamaan calon. Jadi semua pemandu diminta mematuhi nasihat polis bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini, semalam.

Wari berkata, polis juga menyediakan tempat letak kereta untuk penyokong parti ke pusat penamaan calon.

Kenderaan dari bandar Bukit Mertajam akan ditempatkan di kawasan Tanah Perkuburan Cina Berapit yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 kenderaan.

Kenderaan dari BKE pula boleh diletakkan di sepanjang BKE, jalan masuk Institut Perguruan Tuanku Bainun dan Empangan Mengkuang yang boleh menampung 5,000 kenderaan.

"Polis juga menyediakan lima trak tunda untuk menarik kenderaan yang diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya," katanya.

Beliau turut menasihati penduduk setempat supaya merancang perjalanan mereka bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berikutan penutupan jalan berkenaan.

No comments: