Friday, May 22, 2009

Nizar sudah hilang keyakinan majoriti ADUN - Peguam

Nizar sudah hilang keyakinan majoriti ADUN - Peguam

PUTRAJAYA 21 Mei - Peguam Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebenarnya sudah hilang keyakinan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Menurutnya, Mohammad Nizar sudah membuat pengakuan sendiri bahawa beliau telah kehilangan majoriti dalam DUN tersebut ketika menghadap Sultan Perak pada 4 Februari lalu di bawah Perkara 36(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak 1957.

Perkara 36(2) menyebut Paduka Sultan Perak boleh memberhentikan atau membubarkan DUN dan ia hanya terpakai apabila tempoh DUN itu telah sampai lima tahun.

''Pada ketika itu sudah berlaku satu 'dead lock' iaitu telah hilang kepercayaan majoriti ADUN Perak.

''Jadi sudah jelas beliau terpaksa meletak jawatan di bawah artikel 16(6) Perlembagaan Perak,'' katanya.

Beliau ditemui pemberita bersama seorang lagi peguam, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin di pekarangan Mahkamah Rayuan selepas membuat penghujahan berhubung isu keputusan rayuan Zambry terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan pada pukul 3.30 petang esok.

Mohd. Hafarizam berkata, berlaku interpretasi dalam Perkara 16(6) iaitu sama ada seseorang Menteri Besar hilang keyakinan atau kepercayaan majoriti dengan hanya pergi ke DUN untuk mendapatkan undi percaya atau dengan cara lain.

''Tetapi telah terbukti bahawa Mohamad Nizar ketika dia menghadap Sultan dan telah menghantar surat kepada Tuanku, dia tidak menggunakan Perkara 16(6) sebaliknya menggunakan Perkara 36(2),'' katanya.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang turut ditemui pemberita berkata, beliau cukup yakin dapat merebut semula jawatan Menteri Besar berdasarkan perundangan setelah melaksanakan tugasan yang berlandaskan peraturan-peraturan yang telah dijelaskan.

''Keputusan mahkamah ini hanya sekadar mengikuti proses perundangan sahaja tetapi hakikat sebenarnya adalah diberi hak semula kepada rakyat Perak supaya mereka membuat pemilihan baru.

''Jadi kami memohon supaya pembubaran DUN diadakan seperti kehendak rakyat sendiri dan keadilan diberikan sebaiknya supaya bukan sahaja diberi penghormatan kepada sesi kehakiman sendiri tetapi ia memenuhi cita rasa kehendak negeri Perak dan rakyat Malaysia,'' katanya.

No comments: