Friday, May 22, 2009

Rayuan Anwar cabar pemecatan didengar 30 Julai

Rayuan Anwar cabar pemecatan didengar 30 Julai

PUTRAJAYA 21 Mei - Mahkamah Persekutuan menangguhkan sehingga 30 Julai ini untuk mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar kesahihan pemecatannya daripada jawatan Kabinet hampir 11 tahun lalu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Rayuan tersebut yang dijadualkan didengar hari ini pada awalnya telah dipinda ke esok tetapi memandangkan peguam utama Anwar, Karpal Singh tidak dapat menghadirinya, ia ditetapkan pada 30 Julai ini.

Pada 16 Jun tahun lalu, Anwar dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Dr. Mahathir pada 2 September 1998 adalah sah pelaksanaannya dari segi undang-undang.

Dengan kebenaran tersebut, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang iaitu sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut perlembagaan dan sama ada Dr. Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dahulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 23 Disember 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Dr. Mahathir dan kerajaan Malaysia bagi mendapatkan perintah perisytiharan bahawa keputusan Dr. Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal.

Anwar menegaskan bahawa pembatalan pelantikannya patut dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan pembatalannya tidak boleh dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan sekali gus mengesahkan keputusan berkenaan.

Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa pemecatan Anwar daripada jawatan Kabinet dilakukan mengikut undang-undang oleh Dr. Mahathir memandangkan kuasa untuk melantik dan memecat menteri terletak pada Perdana Menteri.

Dr. Mahathir dan kerajaan Malaysia selaku responden diwakili tiga Peguam Kanan Persekutuan iaitu Datuk Kamaludin Md. Said, Azizan Mohd. Arshad dan Lailawati Ali.





Kes Anwar cabar Dr M 30 Julai

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam menetapkan 30 Julai untuk mendengar kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar pemecatannya daripada jawatan Kabinet pada 1998 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad daripada segi Perlembagaan.

Kes itu pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan semalam di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Seorang pegawai pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, kes dijadual semula semalam di hadapan panel tiga hakim itu tetapi peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar sibuk.

Pada 16 Jun tahun lalu Mahkamah Persekutuan membenarkan Anwar mencabar kesahihan dari segi Perlembagaan pemecatannya daripada jawatan Kabinet itu.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang - sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut Perlembagaan dan sama ada Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

Mahkamah akan memutuskan sama ada Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang membatalkan pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam Kabinet Malaysia berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa melantik mempunyai hak membatalkan pelantikan.

Pada 23 Disember 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Dr Mahathir dan kerajaan untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah mengisytiharkan keputusan Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 September 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal.

Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

No comments: