Friday, May 22, 2009

SPRM akan panggil Mat Iraq

SPRM akan panggil Mat Iraq


MEMBAKUT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi bagi memberi keterangan berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam pemilihan parti itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata beliau difahamkan ada pegawai SPRM cuba menghubungi Mohamed Daud, tetapi tidak pasti sama ada mereka sudah mendapatkan keterangan yang diperlukan.

"Bagaimanapun, SPRM tetap akan memanggil beliau. Kita mahu lihat bukti yang beliau ada. Kadang-kadang kalau orang beri makan, kita tidak tahu sama ada dia buat kenduri atau sebaliknya.

"Beliau mendakwa nampak orang beri hadiah. Oleh itu, kita ingin tahu apa hadiah yang dimaksudkan dan sehingga kini beliau (Mohamed) atau pihak lain belum membuat aduan rasmi kepada SPRM berhubung dakwaan itu," katanya selepas menutup Program Jati Diri Rakan Muda di sini, semalam.

Minggu lalu, Mohamed dilaporkan mendakwa wujud unsur rasuah dalam pemilihan Pas berikutan ada pihak tertentu dipercayai menyediakan jamuan dan hadiah kepada perwakilan.

Berikutan kenyataannya itu, Mohamed diminta memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Disiplin Pas kerana dakwaan itu boleh menjejaskan parti.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, SPRM bertindak bukan kerana Pas parti pembangkang, sebaliknya untuk membanteras rasuah pada semua peringkat.

Mengenai tuduhan terhadap bekas Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Japlin Akim, yang ditahan reman kerana dipercayai terbabit dalam rasuah sebelum Perhimpunan Agung Umno Mac lalu, beliau berkata: "Siasatan akan disiapkan dalam tempoh terdekat. Jika ada kes, kita akan dakwa."

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 203 individu termasuk 115 orang awam dan 88 lagi pegawai tinggi kerajaan dan swasta, ditahan sepanjang Januari hingga kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam rasuah dan penyelewengan kuasa.

No comments: