Friday, May 22, 2009

Tindakan tegas adakan perhimpunan haram

Tindakan tegas adakan perhimpunan haram


JUGRA: Polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang mengadakan perhimpunan haram termasuk aktiviti nyalaan lilin tanpa permit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata mereka yang mahu berbuat demikian perlu memohon permit permit polis atau tindakan tegas akan diambil.

"Sejak kebelakangan ini, ramai rajin berhimpun dan membakar lilin di tepi jalan. Saya menggesa mereka menghentikan aktiviti ini kerana kita akan mengambil tindakan tegas.

"Kalau mahu menyuarakan perasaan tidak puas hati, ada forumnya... ada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dan bukan di tepi jalan yang mengganggu ketenteraman awam," katanya selepas merasmikan Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Selangor 2009 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor, di sini semalam.

Khalid diminta mengulas penahanan 11 orang, termasuk Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenise Lee kerana menyertai perhimpunan haram di depan pejabat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, 19 Mei lalu.

Khalid berkata, polis akan mengambil tindakan tidak kira sama ada pihak terbabit orang biasa atau pemimpin parti politik.

Katanya, ia bukan soal adil atau tidak, tetapi soal undang-undang yang dilanggar dan tindakan yang perlu diambil kerana tidak mahu apa yang berlaku di negara jiran menular di Selangor.

"Ia bermula dengan perhimpunan aman tetapi bila tidak dibendung dari awal, ia melarat dan mengancam ketenteraman awam," katanya.

Sementara itu, Khalid mengesahkan beberapa wartawan dipanggil untuk memberi keterangan membabitkan dakwaan polis memukul dan memaksa seorang tahanan, Adi Anwar Mansor, 23, minum cecair pencair.

Pada 8 April lalu, Adi Anwar, suspek kes pengedar dadah meminum pencair ketika di bilik pegawai penyiasat Balai Polis Klang sehingga tidak sedarkan diri dan terpaksa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan.

Khalid berkata, wartawan yang dipanggil memberi keterangan untuk siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan terhadap satu laporan memfitnah polis membabitkan kes itu.

No comments: