Friday, May 22, 2009

Sistem kuota Umno mansuh 2011

Sistem kuota Umno mansuh 2011


PUTRAJAYA: Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan Umno menjangka sistem kuota pencalonan bagi mereka yang mahu bertanding merebut semua jawatan dalam parti dapat dimansuhkan menjelang pemilihan pada 2011.

Pada masa sama, kuasa untuk memilih pemimpin pelbagai peringkat dalam parti itu dijangka dapat diperluaskan dengan memberi hak kepada sama ada semua 3.4 juta ahli atau 60,000 pada peringkat bahagian untuk mengundi.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya bersetuju mencadangkan pembaharuan itu untuk dinilai oleh parti, sejajar saranan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno lalu.

"Rangka kertas cadangan mengenai pembaharuan itu akan dibawa kepada jawatankuasa induk untuk diperincikan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan Umno di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Sehubungan itu, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri meminta ahli pada peringkat cawangan dan bahagian Umno yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat mengemukakan pandangan berhubung perkara itu untuk pertimbangan Jawatankuasa Induk.

Katanya, berdasarkan maklum balas diterima itu, jawatankuasa induk akan menyiapkan draf lengkap pindaan yang dicadangkan untuk dibentangkan kepada perwakilan pada Perhimpunan Agung Khas parti yang dijangka diadakan tahun ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, kelulusan dan persetujuan perwakilan pada perhimpunan agung khas itu akan membolehkan pindaan dilaksanakan serta merta seterusnya dikuat kuasa pada pemilihan parti akan datang.

"Cadangan menghapuskan sistem kuota itu membolehkan sesiapa saja menawarkan diri untuk bertanding pada semua peringkat supaya proses pemilihan lebih telus dan bebas, sekali gus membolehkan mereka yang diberi sokongan, mendapat tempat.

"Jika semuanya berjalan lancar, bermakna proses ke arah perubahan dan petanda bermulanya era baru politik negara menjadi kenyataan. Langkah sama juga akan dicadangkan pada peringkat Barisan Nasional (BN)," katanya.

No comments: