Thursday, November 08, 2007

Kamarudin sanggah Abdullah: PAS tidak pernah dakwa Islam hanya miliknya

Saidah Hairan
Wed | Nov 07, 07 | 5:30:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar menyelar kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang seolah-oleh mendakwa Islam itu hanya menjadi hak pihak parti politik tertentu.

Dakwaan itu dinyatakan dalam ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pagi tadi.

Merujuk dakwaan tersebut, Kamarudin menegaskan, jika ia ditujukan pada PAS, kenyataan Abdullah itu adalah tidak benar kerana pimpinan PAS tidak pernah menganggap atau mengisytiharkan Islam itu hanya boleh dan berhak diperjuangkan oleh PAS sahaja.

Sebaliknya kata beliau, PAS sentiasa mengatakan bahawa perjuangan Islam untuk semua, malah Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengatakan bahawa kalau Umno benar-benar mengamalkan Islam, PAS perlu dibubarkan sahaja.

Ini bermakna tambah beliau, pimpinan PAS tidak pernah mengaitkan parti itu sebagai satu-satunya parti yang hanya berhak pada Islam.

"PAS juga ada slogan Islam For All, yang menunjukkan Islam adalah rahmat untuk semua. Sebaliknya pimpinan Umno cuba memberikan gambaran bahawa Umno sahaja parti yang memperjuangkan Islam," tegasnya ketika ditemui di majlis jamuan Hari Raya, anjuran Badan Kebajikan Harakah (Bakkah), petang tadi.

Menurut Kamarudin, yang juga Pengarah Urusan Harakah, di bawah kepimpinan Abdullah wujudnya istilah Islam Hadhari, sesuatu yang tidak pernah ada di dalam dunia Islam lainnya seperti di Indonesia, Bangladesh, dan Arab Saudi kerana "Islam adalah Islam".

Sebaliknya, hanya Abdullah seorang sahaja yang cuba mewujudkan istilah baru yang dipanggil Islam Hadhari dan dijadikan jenama untuk Umno.

Masalah sebenarnya, kata beliau, dakwaan Islam hanya untuk satu kumpulan bukan merupakan penyakit dalam PAS tetapi ia menjadi penyakit dalaman Umno.

Berhubung ucapan dasar Abdullah sebagai Presiden Umno, katanya, tidak ada bahan-bahan yang baru yang diperkenalkan kali ini tetapi ia hanya berbentuk ulangan tema lama seperti modal insan dan sebagainya.

"Abdullah kata modal insan itu perlu diamalkan dalam diri dan keluarga," jelasnya. Tetapi kata Kamarudin, keluarga Perdana Menteri sendiri yang paling banyak mendapat manfaat daripada kedudukannya, seperti anak lelaki beliau mempunyai kaitan dengan syarikat Scomi.

Manakala tambahnya, menantu beliau pernah mengaku mendapat perlindungan istimewa anak menantu PM yang kemudiannya digunakan untuk kepentingan politik dan perniagaan.

No comments: