Thursday, November 08, 2007

Samy Vellu ikrar kerjasama selama-lamanya

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu gembira dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerjasama UMNO dan MIC akan kekal erat selama-lamanya.

Samy Vellu berkata, tiada keretakan hubungan antara MIC dan UMNO, sebaliknya isu yang timbul antara parti itu sengaja ‘dicucuk’ oleh mereka yang tidak suka melihat perpaduan dalam Barisan Nasional (BN).

‘‘Ini merupakan satu petanda yang baik. Kita akan bekerjasama untuk selama-lamanya dengan UMNO dan BN.

‘‘Kita tidak persoalkan hubungan dengan orang Melayu atau orang India. Hari ini kita mahu memikirkan bagaimana menaikkan taraf perhubungan ini,’’ kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Samy Vellu diminta mengulas ucapan Abdullah yang juga Presiden UMNO yang menggesa dikekalkan sikap toleransi antara kaum supaya semangat perpaduan dalam parti dapat diperkukuhkan.

Beliau berkata, bila ada masalah, MIC akan meminta pandangan Perdana Menteri untuk menyelesaikannya.

‘‘Dasar ini tidak pernah berubah dan bagi MIC, tiada pindaan dalam dasar tersebut dan kita akan bersama dengan BN sampai mati,’’ tegasnya.

Katanya, MIC tidak mempunyai sebarang masalah dengan parti komponen BN, malahan hubungan itu akan dijaga dan sentiasa disegarkan.

‘‘Kita hormati bangsa Melayu dan Cina. Kita tidak langsung bangkitkan apa-apa masalah mengenai kaum. Apa yang kita bangkitkan ialah bagaimana bangsa India boleh membangun sebagaimana kaum lain,’’ jelasnya.

Mengenai isu kuil di Shah Alam, Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Abdullah telah meminta beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Menurutnya, sebidang tanah telah disediakan oleh kerajaan Selangor untuk menempatkan semula kuil berkenaan dan ketika ini kerja-kerja tanah sedang dilakukan.

‘‘Walaupun ada pihak yang cuba ‘mencucuk’, saya akan menyelesaikan masalah ini dengan toleransi.

‘‘Anda tidak boleh mengambil semua kuil. Tentulah kuil yang diambil itu ada masalah. Mana yang tiada masalah kerajaan tidak akan kacau,’’ kata beliau.

Ditanya mengenai tekanan ahli MIC terhadap isu berkenaan, Samy berkata, ahli MIC tahu mereka perlu mematuhi permintaan Presiden MIC.

‘‘Apa pandangan mereka akan disampaikan pada saya. Orang luarlah yang cucuk sana, cucuk sini. Mereka (ahli MIC) tidak melihat ini sebagai isu sensitif. Mana ada orang tersinggung, saya seorang sahaja yang menyuarakan hal itu kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar,’’ katanya.

Beliau juga mengingatkan sekali lagi kepada penganut Hindu dan ahli MIC bahawa sambutan Deepavali di kawasan tersebut tiada kena mengena dengan isu kuil berkenaan.

‘‘Saya sendiri sudah melihat persiapan Deepavali di situ. Semuanya baik dan saya juga akan menyertai sambutan Deepavali peringkat kebangsaan,’’ kata beliau.

Samy Vellu turut mengakui orang Islam sentiasa menghormati agama lain di negara ini.

‘‘Tiada masalah agama di negara ini. Isu kuil tiada kena mengena dengan aspek agama tetapi pentadbiran.

‘‘Kita akan selesaikan dengan baik, kalau tidak boleh kita akan bawa sekali lagi kepada pengetahuan Perdana Menteri. Kita akan terus berbincang,’’ katanya.

No comments: