KUALA LUMPUR 7 Nov. – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendoakan agar kesihatan Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali pulih.
‘‘Dr. Mahathir pada masa ini masih berehat di rumah dan kita mendoakan agar kesihatan beliau akan pulih dan sihat semula,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua di Institut Jantung Negara (IJN) pada 4 September lalu dan kemudian menjalani pembedahan membersihkan jangkitan pada 22 September.
Beliau pulang ke rumah pada 21 Oktober lalu setelah berada di IJN selama 50 hari.
Dalam ucapannya, Abdullah sebelum itu berkata, semua rakyat Malaysia patut bersyukur atas nikmat, kemuliaan, martabat dan kedaulatan yang dimiliki oleh negara bangsa.
Katanya, segala-galanya itu adalah hasil dari kebijaksanaan barisan kepimpinan negara dalam tempoh 50 tahun Malaysia merdeka, bermula daripada Tunku Abdul Rahman Putera, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beliau sendiri sejak empat tahun yang lalu.
‘‘Saya bersyukur kerana mewarisi kepimpinan sebuah kerajaan yang telah mencipta kejayaan terutama dalam pembangunan prasarana fizikal negara,‘’ katanya.
No comments:
Post a Comment