Thursday, November 08, 2007

Ucapan terbaik Presiden – Mukhriz

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai yang terbaik.

“Bagi saya ucapan itu menunjukkan keikhlasan beliau untuk memajukan orang Melayu. Beliau begitu berterus terang mengenai perkara itu.

“Oleh itu permintaan beliau supaya kontrak sosial yang telah dipersetujui tidak lagi diungkit perlu difahami dan dihormati khususnya daripada parti komponen. Apa yang pasti Presiden mahu melihat negara kita aman hingga selama-selamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap ucapan dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Berhubung isu ekonomi yang disentuh oleh Abdullah, Mukhriz berkata, langkah kerajaan memperkenalkan koridor pembangunan wilayah mampu merancakkan lagi ekonomi di negara ini.

“Diharap mereka yang dipertanggungjawab melaksanakan program yang telah digariskan ini melakukannya secara bersungguh-sungguh kerana ia secara tidak langsung memberi kesan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu.

“Begitu juga dengan Syarikat Milik Kerajaan (GLC) juga perlu menyahut seruan Presiden untuk terus membantu usahawan Melayu,” ujarnya.

No comments: