KUALA LUMPUR 7 Nov. – Para pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mengikuti ucapan dasar Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu hari ini menyambut baik jaminan beliau mengenai perjanjian kongsi kuasa dan menyifatkannya sebagai pemangkin perpaduan yang lebih erat.
Rata-rata berpendapat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi keyakinan bahawa UMNO bukan sahaja menjaga kepentingan Melayu di negara yang berbilang kaum ini .
Dalam menuju Wawasan 2020 dan Misi Nasional, para pemimpin terbabit secara tidak langsung berikrar untuk bekerjasama dan bersatu dalam semangat merdeka bagi mengekalkan keharmonian kaum yang mencerminkan persaudaraan rakyat Malaysia.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, mesej Perdana Menteri bahawa UMNO tidak sekali-kali melanggar janji kemerdekaan akan dimaklumkan kepada seluruh anggota parti itu.
‘‘Saya mengalu-alukan penjelasan yang amat meyakinkan menyentuh kebebasan beragama dari segi semangat perlembagaan yang dipegang teguh dan banyak rancangan pembangunan koridor-koridor adalah untuk semua kaum.
‘‘Semangat BN akan terus kukuh dan kita akan bersama-sama mengatasi perbezaan pendapat demi kepentingan masyarakat pelbagai kaum,” katanya kepada pemberita ketika mengulas ucapan dasar Abdullah pada perhimpunan itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula mengagumi ucapan dasar itu yang disifatkannya sebagai bernas dan positif dengan menekankan perpaduan dan semangat kemerdekaan.
‘‘Saya amat kagum kerana Pak Lah mengutamakan Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjadi asas keharmonian dan perpaduan antara kaum.
‘‘Pak Lah telah menjelaskan bahawa di bawah langit ini ada tempat untuk semua kaum dan ini suatu jaminan yang baik serta positif untuk semua,’’ katanya.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, ucapan Perdana Menteri bukan hanya untuk orang UMNO dan Melayu tetapi segenap lapisan masyarakat.
Tegas beliau, parti itu tidak mempunyai masalah dengan parti komponen lain dalam mewujudkan semangat setiakawan.
‘‘Bagi PPP, kita bersedia menghadapi pilihan raya akan datang dengan memberikan kerjasama dengan parti komponen BN,’’ katanya.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan pula menghormati integriti dan keberanian yang ditunjukkan Abdullah dalam misi beliau memajukan negara dan menyatupadukan rakyat di negara ini.
“Saya menghormati pandangan Perdana Menteri serta UMNO amnya yang berjanji untuk mengeratkan lagi perpaduan di negara ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment