Thursday, November 08, 2007

Wujudkan koridor ekonomi wilayah tengah

KUALA LUMPUR 7 Nov. – UMNO Wilayah Persekutuan mahu kerajaan membentuk satu lagi koridor ekonomi, yang dicadangkan namanya Gerbang Ekonomi Wilayah Tengah (GEWT) sebagai pelengkap pembangunan Malaysia.

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, pembentukan gagasan ini yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka bakal mewujudkan rangkaian kluster ekonomi antara negeri-negeri berkenaan.

‘‘Pelaksanaannya juga boleh memberi peluang kepada orang Melayu di kawasan itu untuk menceburkan diri dalam pembangunan wilayah ekonomi,’’ katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung parti di PWTC di sini hari ini.

Sebagai contoh, Suhaili berkata, Kuala Lumpur boleh berfungsi sebagai pusat komersial dan kewangan antarabangsa, pusat pelancongan, pusat membeli-belah serta kebudayaan di samping pusat pendidikan dan kesihatan antarabangsa.

Beliau mencadangkan Putrajaya dijadikan pusat pentadbiran, Cyberjaya (hab pusat maklumat dan teknologi negara), Dengkil (pusat kajian dan pembangunan bioteknologi), Shah Alam (kawasan perindustrian berat dan pentadbiran), Pelabuhan Klang dan Pulau Indah (hab pembangunan pelabuhan maritim import dan eksport), Lapangan Terbang Antarabangsa KL, KL Sentral, Bangi dan Kajang (pusat pendidikan dan latihan institusi perbankan), Port Dickson dan Melaka (pelancongan).

Beliau berkata, semua ini dapat memberi lonjakan deras dalam mengimbangi suasana pelaburan menerusi wilayah-wilayah ekonomi yang baru.

‘‘Kewujudan GEWT ini juga boleh membentuk rangkaian pertumbuhan ekonomi yang lebih efisien di samping menekankan aspek telekomunikasi, sistem pengangkutan dan lojistik yang lebih berkesan,’’ katanya.

Suhaili yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menegaskan bahawa penubuhan GEWT bukan untuk menyaingi pembangunan koridor-koridor ekonomi yang telah dilancarkan tetapi bertujuan untuk tidak meminggirkan keempat-empat negeri berkenaan daripada lakaran pembangunan masa depan negara.

No comments: