Thursday, November 08, 2007

"Sediakan bantal dan tikar getah"

Wartawan Kita
Thu | Nov 08, 07 | 3:41:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Hrkh) - Beberapa ahli dan penyokong Umno secara berseloroh meminta perwakilan dan pemerhati yang hadir di PWTC supaya menyediakan "bantal dan tikar" sebaik sahaja Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan perhimpunan agung Umno parti itu pada 7 November lalu.

"Siapkan bantal dan tikar getah kerana kita hendak tidur," kata mereka secara berseloroh tetapi penuh sinikal ketika mengulas ucapan dasar Presiden Umno.

Dalam persidangan Umno tahun 2006, pihak media terutama siaran televisyen telah memaparkan "tingkah-laku" para perwakilan ketika Abdullah berucap merasmikannya.

Justeru, penonton di rumah dapat melihat melalui kaca TV bagaimana ada perwakilan persidangan yang sedang sibuk bercakap menggunakan telefon bimbit, yang lainnya membaca surat khabar dan tidak kurang juga yang lena mendengkur ketika Abdullah begitu "bersemangat" berucap.

Seorang Ahli Jawatankuasa Umno sebuah bahagian di Selangor memberitahu, semasa beliau menjadi perwakilan dalam perhimpunan agung Umno lalu, ada di kalangan perwakilan yang berdengkur sehingga selesai Abdullah berucap.

"Nasib baik dikejutkan, kalau tidak, sampai habis persidangan pun ada yang terus terlena, tak sedar," tambahnya.

Isu Abdullah tertidur semasa menghadiri persidangan Umno turut menjadi bualan ramai, sehingga gambar-gambar beliau terlena ketika perwakilan berucap dapat dirakamkan dan disebarkan secara meluas melalui internet.

Malah, Abdullah dapat dikesan lewat masuk ke dewan persidangan, meskipun acara perbahasan perwakilan sudah bermula. Hal ini, menurut pemerhati politik, tidak pernah berlaku semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno selama lebih 20 tahun.

Bagaimanapun, seorang perwakilan Umno yang ditemui memberitahu, walaupun mereka seringkali kelihatan tertidur tetapi mereka sebenarnya turut mendengar apa yang diucapkan Abdullah. "Kita mencari ilham bukannya tertidur," katanya sambil tersenyum.

Dalam pada itu seorang wartawan kanan sebuah akhbar berkongsi pengalaman menariknya ketika Abdullah berucap menggulung perbahasan pada hari terakhir perhimpunan Umno 2006.

"Selalu orang mendakwa Pak Lah tertidur semasa beliau mendengar perbahasan perwakilan Umno, atau ketika diberikan taklimat, tetapi saya sendiri tak sangka bagaimana saya boleh tertidur semasa Abdullah berucap hari itu, sedangkan ucapan penutup Tun Mahathir dulu amat saya tunggu-tunggu," ujarnya.

No comments: