Thursday, November 08, 2007

Pinda Perlembagaan Persekutuan perjelas Islam agama rasmi

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Wanita UMNO mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukkan perkataan ‘rasmi’ selepas perkataan ‘Agama Islam ialah agama...’ bagi mengelakkan kekeliruan yang mungkin ditimbulkan sesetengah pihak.

Wakil Pergerakan Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, walaupun pindaan pada Perkara 3 (1) itu kecil, ia sebenarnya memberi kesan terhadap status agama Islam yang telah mula berani dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, umat Islam wajib mempertahankan kesucian agama Islam dengan apa cara sekalipun dan pindaan tersebut disifatkannya sebagai jalan terbaik untuk dilaksanakan.

“Kita wajib mempertahankan kesucian agama Islam dan atas tanggungjawab ini Pergerakan Wanita UMNO mencadangkan supaya perkataan rasmi dimasukkan ke dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kamilia berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kini memperuntukkan “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita UMNO itu berkata, pindaan dengan menambah perkataan ‘rasmi’ itu akan memperjelaskan kepada mereka yang banyak mempertikaikan tentang kedudukan agama Islam.

Kamilia berharap cadangan tersebut diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan demi memelihara kesucian Islam sekali gus memastikan tidak ada lagi pihak yang cuba mempertikaikannya.

“Kita tidak mahu wujud golongan yang sengaja menyentuh hak-hak asas yang kita telah persetujui sejak sekian lama. Ini merupakan isu sensitif yang tidak harus disentuh secara sesuka hati,” tegas beliau.

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Akta Pentadbiran Agama Bukan Islam bagi tujuan menguruskan secara lebih teratur segala isu berkaitan dengan orang bukan Islam.

“Kita tidak mahu rumah-rumah ibadat dibina tanpa ada perancangan yang sistematik seperti yang berlaku ketika ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kamilia memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak bermain api iaitu dengan sengaja menimbulkan isu berkaitan dengan perkauman.

“Jangan cuba main api dengan UMNO. Jangan sengaja cuba menimbulkan isu-isu perkauman. Kita harus sedar bahawa UMNO telah banyak berkorban.

“Mereka juga perlu ingat bahawa UMNO amat bermurah hati dengan memberi kerusi kepada parti-parti komponen Barisan Nasional walaupun jumlah pengundi mereka di kawasan terbabit kurang,” tambahnya.

No comments: