Thu | Nov 08, 07 | 10:43:24 am MYT
Pelik tetapi benar. Umno yang mempunyai keahlian lebih daripada tiga juta ahli dan teras kepada gabungan parti-parti dalam Barisan Nasional menghadapi masalah "lengang" dalam Perhimpunan Agung Umno 2007, termasuk pada hari pembentangan ucapan dasar Presiden, semalam.
Tidak ramai ahli-ahli mahupun penyokong yang hadir sehingga ramai peniaga gerai yang duduk termenung menunggu pelanggan. Sememangnya sejak Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Presiden Umno pada tahun 2004, keadaan suram mula melanda setiap kali perhimpunan agung parti berkenaan, dan tahun ini, sambutan begitu teruk sekali.
Sepatutnya menjelang Perhimpunan Agung Umno yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 akan datang, para ahli dan penyokong Umno bersemangat sekali untuk hadir sebagai tanda sokongan moral kepada parti tetapi keadaan adalah sebaliknya.
Yang paling "sibuk" berjalan adalah isteri (atau 'bonda baru' sepertimana yang disebut oleh menantunya) Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Jeanne Abdullah. Beliau akan berlegar di mana sahaja di sekitar PWTC seolah-olah memperkenalkan dirinya adalah isteri Presiden Umno kepada sayap Pemuda, Puteri dan Wanita Umno.
Apakah tindakan Jeanne ini adalah untuk "meredakan" hati perwakilan dan ahli-ahli Umno yang agak kecewa dengan pilihan Abdullah? Apakah Jeanne mahu membuktikan bahawa dirinya juga adalah penyokong kuat bangsa Melayu dan Umno?, melebihi anita-wanita Melayu lainnya?
Walaupun Jeanne sentiasa "sibuk berjalan" tetapi ruang legar di PWTC begitu lengang dan sepi. Apakah ahli-ahli Umno sudah tidak ghairah lagi dengan parti mereka sendiri? Atau adakah para perwakilan kini "sengkek" kerana tidak mampu lagi membawa para penyokongnya ke ibu kota sepertimana yang dilakukan oleh mereka sebelum ini terutamanya di bawah era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.
Sejak Abdullah memperkenalkan pertanian dan batik sebagai perniagaan baru, semakin ramai ahli dan pemimpin Umno di peringkat bahagian tidak dapat menjalankan perniagaan tradisi sebagai kontraktor. Abdullah memperkenalkan perniagaan berasaskan pertanian secara drastik, sesuatu yang disifatkan baik, tetapi dalam bidang yang mana aktivis Umno "cari makan", seperti sektor pembinaan, ia seperti menemui jalan mati.
Makin ramai kontraktor kelas F misalnya mengeluh kerana sudah lama mereka tidak mendapat kontrak baru. Ataupun, apakah Abdullah mahu menutup peluang perniagaan buat golongan yang dilihat masih rapat dengan Mahathir bagi mematikan terus pengaruh bekas Perdana Menteri itu dalam Umno.
Mungkin pemimpin dan ahli-ahli Umno tidak begitu kecewa apabila SCOMI mendapat banyak peluang perniagaan tetapi mereka cukup kecewa dengan sikap Abdullah yang turut membenarkan keluarganya aktif dalam politik, malah mempengaruhi keputusan dan dasar penting negara.
Para pemimpin Umno cukup faham tekanan yang mereka hadapi dengan sikap menantu beliau ketika mula-mula memegang jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno dahulu. Mungkin mereka yang pernah menerima arahan daripada menantu Abdullah ini begitu kecewa dengan budak muda yang baru belajar di dalam Umno tetapi sudah bersikap "besar kepala" dengan memberi pelbagai arahan sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa kedudukan dalam kerajaan.
Atau mungkinkah sebahagian ahli-ahli Umno masih kecewa dengan sikap Abdullah dan para pemimpin Umno yang "menyerang" Dr Mahathir serta menghalang bekas Presiden Umno itu untuk hadir sebagai perwakilan Kubang Pasu pada tahun 2006 lalu?
Bekas Presiden Umno ini hanya hadir sekali sahaja pada tahun 2004 ketika Abdullah memegang jawatan Presiden Umno. Kemudian pada tahun 2005-2007, Dr Mahathir tidak hadir yang mungkin disebabkan faktor kesihatan atau kekecewaan beliau terhadap Abdullah dan "budak-budak di Tingkat 4 JPM". Segala-galanya adalah serba mungkin.
Bagaimanapun kekurangan pengunjung semasa berlangsungnya Persidangan Agung Umno 2007 tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada parti pembangkang bahawa Umno kini lemah dan kurang sokongan. Pembangkang sepatutnya lebih berhati-hati dan bijak berpolitik menjelang pilihanraya umum ke-12 kerana ahli dan pemimpin Umno boleh berubah wajah dan tindakan.
Itu pun jika Abdullah tidak melakukan rombakan besar-besaran dengan menggantikan orang-orang Dr Mahathir kepada pengikut setia beliau. Jika Abdullah melakukan rombakkan, kemungkinan besar mereka yang tidak terpilih akan melakukan tindakan seperti mana "sepi dan sunyinya" Persidangan Agung Umno sekarang.
Seorang Ahli Jawatankuasa Umno di salah sebuah bahagian di Perak turut terkejut dengan jumlah kehadiran para pemimpin, ahli dan penyokong Umno. "Apakah Pak Lah sedar dengan suasana sekarang dan mesej daripada senario itu?" soalnya.
Abdullah mungkin tidak menyedari ketidakhadiran penyokong dan ahli Umno di PWTC. Malahan Presiden Umno ini mungkin tidak mengambil endah sama ada ramai atau tidak pemerhati yang hadir, kerana bagi dirinya, yang penting pilihan raya umum akan datang Barisan Nasional akan menang besar. Mungkin juga kerana Abdullah berjalan dikelilingi oleh bodyguard menyebabkan beliau menganggap masih ramai ahli dan penyokong Umno yang hadir.
Apapun sepertimana lazimnya yang dilakukan pada tahun 2004-2006, Abdullah akan keluar negara sebaik sahaja selesainya Perhimpunan Agung Umno ini. Urusan keluar negara adalah wajib kepada Abdullah dan keluarganya walaupun ketika itu negara dilanda musibah.
No comments:
Post a Comment