Thursday, November 08, 2007

Fahami sensitiviti orang Melayu

Oleh ZULKIFLI HAMZAH

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi jaminan bahawa UMNO sama sekali tidak akan melanggar semangat perjanjian merdeka tetapi pada masa yang sama menuntut kaum-kaum lain supaya turut memahami sensitiviti orang Melayu.

Presiden UMNO menegaskan, perkara-perkara asas berhubung kesucian agama, kepercayaan dan amalan, kepentingan orang Melayu serta perjanjian permuafakatan antara kaum yang telah termeterai tidak harus diungkit.

Begitu juga perkara-perkara asas yang telah sama-sama dipersetujui sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal. Katanya, ia adalah perkara-perkara yang tidak boleh dirundingkan lagi.

Berucap pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang turut dihadiri oleh presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Abdullah mengingatkan UMNO dan rakan-rakan BN supaya jangan sekali-kali terperangkap dalam isu agama dan perkauman yang dicetuskan oleh politik pembangkang.

“UMNO tidak mengamalkan sifat lidah bercabang, UMNO tidak bernada lain di hari siang - di hari malam, UMNO bukan makhluk dua alam - makhluk yang bertukar warna berasaskan suasana.

“UMNO bersedia duduk semeja, mencari penyelesaian bijak, melalui formula sama-sama menang, menangani isu sensitif menyentuh kaum, menyentuh agama,” katanya.

Abdullah berkata, demi membolehkan isu-isu sensitif dapat ditangani secara berkesan, perbincangan mencari penyelesaian lebih sesuai dilakukan melalui forum tertutup.

Kata Presiden UMNO, isu-isu menyentuh sensitiviti agama dan kaum perlu ditangani secara objektif, rasional dan matang.

“Kita adalah parti yang menguasai kerajaan, kita adalah parti yang didukung oleh kuasa eksekutif, kita tidak harus merendahkan kedudukan kita, melatah dicucuk oleh pembangkang,” tegasnya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menjelaskan bahawa perbuatan menghunus dan mengucup keris pada Perhimpunan Agung UMNO adalah sebahagian daripada adat warisan pusaka bangsa.

Bagaimanapun, katanya, ia turut ditakrif secara sempit dan negatif dengan orang- orang bukan Melayu ditakutkan, malah turut digemakan oleh kumpulan tertentu di luar negara, bertujuan untuk memburuk-burukkan imej UMNO dan Malaysia.

Tegasnya, peluang yang ada di bumi Malaysia adalah terbuka kepada setiap warganegara dan masa hadapan mereka tetap diberikan jaminan.

Hubungan harmoni antara warga pelbagai kaum dan pelbagai agama di negara ini, jelas Abdullah, bukannya satu opsyen tetapi adalah satu kemestian.

“Kita tidak ada pilihan lain. Lima puluh tahun lalu, perjuangan menuntut kemerdekaan dipermudahkan kerana kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman (Almarhum) dan barisan pemimpin seangkatan dengan Almarhum dalam Perikatan memperkenalkan konsep perkongsian kuasa,” katanya.

Kini, kata Abdullah, insan yang lahir di bumi ini adalah anak Malaysia dan mereka besar serta dewasa dengan hanya mengenal negara ini.

“Mereka berpijak di bumi Malaysia dan menjunjung langit Malaysia. Bukan lagi masanya untuk kita mendendangkan lirik berasaskan kaum. Setiap isu yang dihadapi perlu ditangani berasaskan kepentingan nasional dan kepentingan sejagat,” tambahnya.

Menyentuh mengenai sebahagian kecil pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO lalu yang bernada ekstrem, Abdullah berkata, beliau percaya ia juga berlaku dalam parti-parti politik yang dikuasai oleh kaum-laum lain di negara ini.

Namun, jelasnya, dalam semangat membina sebuah negara yang rukun lagi bersatu, konsensus majoriti berlandaskan kesederhanaan dan semangat saling menghormati terbukti mengatasi suara-suara bernada ekstrem.

No comments: