KUALA LUMPUR 7 Nov.– Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu amanat yang tepat dan berterus terang terutama ketika menyentuh sensitiviti kaum.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, ia juga merupakan luahan yang datang dari hati Abdullah dan ditujukan untuk semua kaum.
“Kita tidak boleh menimbulkan sesuatu isu tanpa mengambil kira sensitiviti kaum lain,” katanya ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib berkata, sebarang perkara atau penyelesaian yang mahu dilakukan mestilah merangkumi permuafakatan secara menyeluruh dalam Barisan Nasional (BN) kerana ia pendekatan yang digunakan dalam menangani sebarang isu walaupun sensitif.
“Kita tiada pilihan lain sebab kita berada dalam negara berbilang kaum. Setiap kaum ada kepentingannya dan sensitiviti maka kita kena lihat dari segi Perlembagaan negara. Maka kita gunakan mekanisme BN.
“Kita sudah tahu bahawa jika kita menghormati prinsip-prinsip yang termaktub dalam perlembagaan itu, tidak ada masalah yang terlalu rumit untuk diselesaikan,” katanya.
Bagi pemimpin rakyat pula, Najib berkata, mereka tidak perlu cepat melatah atau berlagak sekiranya dicuit parti pembangkang.
Apa yang diperjuangkan mestilah di dalam konteks yang menjaga keharmonian dan keamanan negara, katanya.
Tegasnya, orang luar yang cuba membangkitkan isu perkauman di negara ini juga perlu sedar bahawa ada had untuk berbuat demikian kerana negara ini ada undang-undang.
“Jadi kalau kita tidak ambil tindakan bukan bererti prinsip ini akan kita korbankan,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata, ucapan tersebut turut merangkumi gagasan yang sedang diperjuangkan UMNO termasuk pembangunan koridor wilayah.
“Beliau turut mengajak kita memikirkan persediaan untuk masa depan dan mengetengahkan betapa pentingnya pembangunan modal insan dan pendekatan Islam Hadhari,” katanya.
Jelasnya, amanat tersebut juga mengambil kira segala usaha yang perlu kita lakukan untuk terus membangunkan negara kita supaya pada masa akan datang lebih berpihak kepada kita.
No comments:
Post a Comment