Thursday, November 08, 2007

Buang racun minda – Abdullah

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa orang Melayu membuang racun minda yang telah begitu lama menguasai fikiran bangsa itu hingga menjadikan mereka gentar kepada perkataan meritokrasi.

‘‘Berasa diri kecil, berasa rendah diri, berasa gentar, berasa kurang upaya, adalah pemikiran beracun yang telah disuntik ke dalam minda Melayu, bermula dari era penjajahan.

‘‘Racun minda ini perlu dikeluarkan supaya minda Melayu berminda segar, berfikiran berani. Melayu, bila diberikan bimbingan yang betul dan diberikan peluang saksama, sebenarnya telah bersedia untuk bersaing,’’ tegas beliau.

Presiden UMNO itu menyatakan demikian dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, setelah 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, ramai orang Melayu sudah berjiwa merdeka.

Katanya, mereka juga telah bersedia untuk bekerja keras dalam semua bidang serta berani bersaing di peringkat global.

‘‘Jangan lagi ditakutkan minda Melayu, seperti menakut-nakutkan anak kecil kepada hantu. Hari ini, jangan diperkecil daya upaya orang Melayu, jangan direndahkan kapasiti Melayu.

Gemilang

‘‘Melayu akan kita pelengkap supaya mampu membawa negara mencapai tahap lebih gemilang untuk 50 tahun akan datang,’’ kata beliau.

Beliau berkata, bangsa Melayu sebenarnya dicipta Tuhan tidak untuk menjadi lebih lemah berbanding umat kaum lain dan ini dapat dibuktikan apabila angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Syukor adalah orang Melayu.

‘‘Dia beragama Islam, dia berketurunan Melayu, dia dipilih daripada kalangan calon pelbagai kaum oleh panel pemilih dari Rusia,’’ katanya.

Justeru, kata Abdullah, bagi memastikan orang Melayu terus mencapai kejayaan, masyarakat Melayu perlu mewujudkan pemikiran kritikal di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi.

Beliau berkata, golongan tersebut mampu memberikan sumbangan lebih berkesan dalam pelbagai sektor ekonomi sekali gus berupaya melihat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari kaca mata yang tidak lagi menimbulkan keresahan bukan Melayu.

‘‘Melayu harus menjaguhi pencapaian matlamat DEB, memastikan komposisi kumpulan profesional dan kumpulan menengah Melayu lebih seimbang dan masyarakat Malaysia tidak lagi dapat dipisahkan berlandaskan profesion,’’ ujarnya.

Beliau turut menepis dakwaan kononnya DEB yang telah dilaksanakan sejak 37 tahun lalu bertujuan merampas hak mana-mana warga Malaysia di bumi ini kerana semangat dasar tersebut didukung bersama oleh semua pihak.

‘‘Kerana itu, belum berlaku keadaan kerajaan merampas kekayaan daripada bukan Melayu untuk menjadikan Melayu kaya. Malah, kekayaan bukan Melayu terus meningkat. Senarai warga terkaya di Malaysia didahului bukan Melayu,’’ katanya.

Kata Abdullah, dalam menuntut keseimbangan penyertaan antara kaum dalam sektor swasta dan awam, semua pihak jangan terlepas pandang matlamat utama DEB iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Beliau berkata, negara tidak akan tenteram jika bilangan rakyat yang miskin masih ramai malah ia boleh mencetuskan ketidakstabilan politik, demonstrasi jalanan, kadar jenayah yang tinggi serta masalah sosial yang besar.

Menurut beliau, dalam hubungan ini, meningkatkan kapasiti dan nilai tambah individu melalui program pendidikan berkesan merupakan alat utama untuk mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan.

Katanya, ini dapat dibuktikan apabila fasa kedua Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sememangnya memberi tumpuan kepada usaha membasmi kemiskinan, bukan sahaja kemiskinan minda malah kemiskinan jiwa.

Beliau berkata, dalam hubungan ini wakil-wakil rakyat UMNO wajib meletakkan prioriti kepada agenda membasmi kemiskinan malah kejayaan membasmi kemiskinan akan dijadikan salah satu petunjuk utama prestasi wakil rakyat di kawasan masing-masing.

‘‘Semoga dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama di bumi Malaysia, perkataan miskin hanya tinggal sebagai satu istilah yang terkandung dalam kamus,’’ katanya.

No comments: