Thursday, November 08, 2007

Ahli kini 3.3j

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Ahli UMNO kini berjumlah 3,325,995 orang dengan 20,401 cawangan didaftarkan sehingga semalam, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau berkata, Johor mencatat jumlah keahlian tertinggi iaitu seramai 459,192 orang, manakala Kemaman yang mempunyai ahli seramai 40,758 orang menjadi Bahagian UMNO yang memiliki keahlian tertinggi.

Katanya, di peringkat cawangan pula, Felda Ayer Tawar 2 dalam Bahagian Kota Tinggi, Johor mencatat keahlian tertinggi dengan seramai 1,679 ahli.

“Bagaimanapun, daripada jumlah 3.3 juta ahli itu, sebanyak 18.4 peratus masih belum mendaftar sebagai pemilih,’’ katanya ketika membentangkan laporan persidangan dan laporan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Radzi, semua cawangan dan bahagian parti telah mengadakan persidangan tahunan masing-masing kecuali UMNO Bahagian Jelutong, Pulau Pinang yang masih digantung.

Mulai tahun ini juga, ujar beliau, semua ahli UMNO yang telah mencapai usia 21 tahun perlu mendaftar sebagai pemilih.

Kata beliau, Ibu Pejabat UMNO telah menghantar senarai ahli yang belum mendaftar sebagai pemilih kepada setiap cawangan untuk didaftarkan.

“Semua cawangan perlu memastikan ahli baru didaftarkan terlebih dahulu sebagai pemilih sebelum dihantar ke ibu pejabat,’’ jelasnya.

No comments: