KUALA LUMPUR 29 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO akan membawa isu kepayahan perjuangan yang pernah ditempuhi sebelum pergerakan itu menjadi kuat dan stabil seperti sekarang ini, pada perhimpunan agung parti bulan depan.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu tersebut akan diberi penekanan bagi menyedarkan setiap perwakilan supaya menghindari sebarang konflik yang boleh membawa perpecahan kepada parti.
“Hari ini, Pemuda UMNO sudah kuat dan stabil. Kita perlu cari jalan untuk mengekalkannya sehingga bila-bila.
“Lihat ke hadapan. Tengok cabaran pemimpin Melayu hari ini yang perlu difikirkan supaya perjuangan sentiasa relevan dengan anak muda,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco pergerakan itu di sini hari ini.
Mesyuarat terakhir sebelum Perhimpunan Agung parti minggu hadapan itu turut membincangkan persiapan terakhir dan usul yang akan dibawa oleh perwakilan Pemuda.
Pada majlis itu juga, Ketua Penerangan, Datuk Azimi Daim dipilih untuk membahaskan ucapan dasar Presiden; Naib Ketua, Khairy Jamaluddin membentangkan usul ekonomi dan pendidikan manakala Ketua Pemuda Selangor, Shukor Idris membentangkan usul agama dan sosial.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, penangguhan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya bagi subjek Matematik dan Sains dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sangat penting untuk agenda pendidikan negara.
“Pelbagai perkara perlu difikirkan sebelum peperiksaan sekolah dirombak sepenuhnya,’’ ujarnya.
No comments:
Post a Comment