Tuesday, October 30, 2007

Pemuda kenang suka duka perjuangan

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan membangkitkan isu perjuangan dan suka duka pergerakan itu menempuh cabaran sehingga mengukuhkan parti pada Perhimpunan Agung Umno mulai 5 hingga 9 November ini.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata, penting bagi pergerakan itu mengingatkan kembali perwakilan mengenai cabaran yang pernah dihadapi sehingga mereka menjadi kukuh dan bersatu padu.

Beliau berkata, generasi pemimpin pelapis perlu melihat cabaran yang dilalui Pemuda bagi mengukuhkan dan mempertahankan perjuangan pada masa akan datang.


“Ini adalah antara inti pati ucapan dasar saya pada perhimpunan kali ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Exco Pemuda, di sini semalam.

Beliau berkata, pemuda kini semakin kuat dan perlu memandang ke depan bagi menterjemahkan perjuangan kepada generasi muda supaya sentiasa relevan.

Hishammuddin berkata, bukan mudah membawa pergerakan itu ke tahap sekarang jika mengambil kira segala masalah dan cabaran yang dihadapi, terutama pergolakan politik masa lampau.


Bagaimanapun, kematangan yang diwarisi, membuatkan Pemuda Umno berjaya menghadapi segala kemelut politik serta memulihkan sayap itu sehingga mengharumkan imej Umno.

Beliau berkata, pada perhimpunan kali ini, pemuda menetapkan ucapan dasar Ketua akan dibahas Ketua Penerangan, Datuk Azimi Daim, usul ekonomi dan pendidikan dibawa oleh Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, manakala usul agama dan sosial oleh Ketua Pemuda Selangor, Shukor Idris.

Ditanya sama ada dalam perhimpunan kali ini, beliau akan mencium keris seperti yang dilakukannya sebelum ini, Hishamuddin berkata, beliau akan berbuat demikian.

Katanya, parti komponen Barisan Nasional (BN) memahami tindakan mencium keris adalah lambang menunaikan amanah menjaga kepentingan semua kaum, bukannya memperjuangkan hak orang Melayu saja.

Sebelum ini, segelintir pemimpin parti komponen dikatakan tidak senang dengan Hishammuddin mencium keris Panca Warisan ketika perasmian Mesyuarat Agung Pemuda Umno tahun lalu sehingga menimbulkan polemik.

No comments: