Tuesday, October 30, 2007

BPR kecewa Anwar enggan serah klip video

Oleh JAMDI NASIR

KOTA KINABALU 29 Okt. – Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan kecewa dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan menyerahkan klip video penuh rakaman perbualan telefon seorang peguam kanan dengan seorang hakim kanan.

Menurut beliau, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya membantu BPR melengkapkan laporan untuk diserahkan kepada panel bebas yang menyiasat kesahihan klip video tersebut.

‘‘Dia (Anwar) kata ada klip video asal selama 14 minit tetapi hanya menyerahkan sebahagian sahaja... lapan minit dan masih ada sebahagian lagi yang patut diserahkan kepada kami.

‘‘Jika dia benar-benar mahu membantu panel siasatan dan BPR untuk mengenal pasti kesahihan video klip itu, datang dan serahkan. Bukannya pergi kepada mahkamah untuk batalkan arahan BPR... sekarang dia buat yang lain pula,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian khidmat cemerlang kakitangan BPR Sabah di sini, malam tadi.

Jumaat lalu, Anwar memfailkan permohonan mengetepikan perintah di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 supaya beliau menyerahkan klip video asal perbualan telefon peguam kanan dengan seorang hakim kanan.

Dalam notis usul itu, Anwar memohon supaya perintah agar beliau mengemukakan dokumen (klip video asal) di bawah Seksyen 22 (1)(b) akta tersebut yang diserahkan kepadanya pada 22 Oktober lalu adalah tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi undang-undang.

Sebelum itu, akhbar melaporkan bahawa kegagalan Anwar menyerahkan klip video asal itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29(c) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, BPR telah mengambil keterangan 12 saksi berhubung klip video itu dan menyerahkan kepada panel bebas berkenaan untuk membuat keputusan lanjut.

‘‘BPR dalam aspek ini hanya memainkan peranan membantu panel dan ketiadaan klip video penuh yang asal tentu sekali menyukarkan kami,’’ katanya sambil menegaskan bahawa Anwar sepatutnya tampil menyerahkan bahan bukti itu dan bukannya memberi alasan pegawai BPR gagal datang menemuinya.

Menjawab satu soalan, Ahmad Said memberitahu, BPR tidak sesekali menutup siasatan terhadap laporan penyelewengan mana-mana individu termasuk pemimpin tinggi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, setiap laporan akan disiasat sebaik mungkin oleh BPR sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, apa yang sepatutnya difahami oleh orang ramai ialah dalam menjalankan siasatan, BPR perlu memastikan kebenaran laporan itu supaya orang yang tidak bersalah tidak menjadi mangsa atau teraniaya.

No comments: