Tuesday, October 30, 2007

Panel khas bergantung laporan saintifik pakar

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Panel bebas khas bagi menentukan kesahihan klip video perbualan seorang peguam kanan dan seorang hakim kini bergantung kepada laporan saintifik pakar dalam menyediakan laporan kepada kerajaan sebelum tarikh akhir pada 9 November ini.

Ketua panel itu, Tan Sri Haidar Mohd. Noor berkata, sehingga kini tiada pihak tampil bekerjasama memberikan keterangan secara langsung walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa keselamatan pemberi maklumat akan dilindungi.

Beliau yang juga bekas Hakim Besar Malaya berkata, panel berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa. Katanya, ia tidak dapat memaksa saksi memberi maklumat.

Sehubungan itu, katanya, ahli-ahli panel akan meneliti laporan dan pandangan dua pakar tempatan daripada syarikat Cyber Security diketuai oleh Ketua Forensik Digital, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin bagi membantu panel mengemukakan pandangan berhubung ketulenan rakaman lapan minit yang telah disunting itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kandungan laporan pakar itu yang dikemukakan kepada panel berkenaan dalam mesyuarat selama lima jam yang berlangsung di sini hari ini.

‘‘Panel selesai bermesyuarat dan kami akan memulakan kerja-kerja penyediaan laporan sebelum tarikh akhir.

‘‘Saya rasa kami tiada masalah untuk mengemukakannya kepada kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat panel bebas khas itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Menara Tun Razak di sini.

Panel tersebut ditubuhkan pada 25 September lalu dan diberi tempoh selama 30 hari bekerja bagi menentukan ketulenan rakaman video perbualan telefon yang membincangkan mengenai pelantikan hakim pada tahun 2002.

No comments: