Tuesday, October 30, 2007

Hieng Ding umum bersara politik, tak bertanding

BEKAS Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Tan Sri Law Hieng Ding (gambar) semalam mengumumkan persaraan daripada politik dan beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Sarikei itu berkata usianya kini mencecah 72 tahun dan sudah sampai masa untuk bersara daripada politik selepas berkhidmat selama 43 tahun.

"Saya tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Sarikei di Sarawak yang diwakili sejak 1982 pada pilihan raya umum akan datang. Saya akan bersara atas pilihan sendiri bagi memberi laluan kepada golongan muda," katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.


Pengumuman Law itu mendorong Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Lim Si Cheng, secara berseloroh bertanya sama ada ucapan itu dibuat kerana Law sudah tahu tarikh pilihan raya umum akan datang.

Sambil tersenyum, Law menjawab beliau tidak mengetahui bila pilihan raya umum ke-12 berlangsung tetapi mengambil kesempatan itu kerana khuatir tidak berpeluang membuat ucapan perpisahan pada masa akan datang.

Dalam perbahasannya beliau menyentuh pelbagai aspek termasuk isu perpaduan bangsa, pendidikan, ekonomi, kekuatan parti serta sejarah dan harapannya dalam bidang politik.


Law berkata, selaku veteran dalam Barisan Nasional (BN), beliau berharap Ahli Parlimen, terutama pemimpin muda sering turun padang dan tidak angkuh dengan gelaran wakil rakyat.

Ketika ditemui di lobi Parlimen kemudian, Law berkata beliau sudah menyatakan hasrat bersara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi belum menyerahkan sebarang surat rasmi berhubung perkara itu.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu berkata hasrat bersara sudah lama difikirkan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana khidmatnya masih diperlukan dalam parti dan kerajaan.

"Saya pernah suarakan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum pilihan raya 1999 atas alasan umur, tetapi Dr Mahathir tanya berapa umur saya dibanding umur dia. Dia kata memandangkan dia belum bersara, dia tolak niat saya," katanya. "Begitu juga pada 2004, hasrat saya untuk bersara terpaksa ditangguhkan sebab tidak dipersetujui pemimpin parti," katanya.

Law berkata memandangkan pilihan raya umum semakin hampir, cabaran sekarang ialah untuk mencari penggantinya yang boleh diterima masyarakat kawasan itu.

Bapa kepada tiga anak dan tujuh cucu itu turut mengakui niat untuk bersara disambut gembira keluarganya.

No comments: