Tue | Oct 30, 07 | 4:05:43 pm MYT
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan perdebatan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato' Seri Mohd Nazri Aziz dengan beberapa anggota Parlimen DAP mengenai isu skandal kehakiman yang didedah dalam 'Pita Lingam'.
Seawal Nazri mula berbahas menjawab persoalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Dato' Zahid Ibrahim (BN-Kota Bharu) dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai isu kehakiman di negara ini, ahli Parlimen Bukit Gelugor itu bingkas bangun mencelah untuk menempelak Nazri.
Perdebatan antara Karpal dan Nazri berlegar sekitar isu kegagalan panel bebas mengendali siasatan ke atas kandungan Pita Lingam selain keanggotaan Tan Sri Haidar Mohd Noor dalam panel tersebut yang disangsikan.
Nazri mempertahankan keputusan kerajaan menubuhkan panel bebas dengan alasan bahawa panel itu bertindak tanpa pengaruh dan bias kepada mana-mana pihak.
Kata Nazri, panel itu ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan pita rakaman yang dikatakan perbualan antara seorang peguam kanan, VK Lingam dengan seorang Hakim Kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
"Kerajaan berpandangan kena kenal pasti kesahihan jika tidak ia satu surat layang, kita tidak akan siasat jika pita itu belum disahihkan lagi,"kata Nazri.
Untuk maklumat panel bebas yang dibentuk mampu menjalankan tugas dengan bebas dan berkesan, panel itu mendapat kerjasama dari Badan Pencegah Rasuah (BPR), polis dan Peguam Negara, kata Nazri.
Bagaimanapun kenyataan Nazri itu disanggah oleh Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Kit Siang yang menyatakan bahawa tiga orang yang menganggotai panel bebas itu tidak berkebolehan, tiada kuasa memanggil saksi dan melindungi saksi.
Baginya, panel yang ditubuh itu tiada kebolehan untuk menentukan kandungan pita itu khasnya apa yang berlaku dalam pita itu.
Perkara ini bukan sahaja soal kesahihan itu tetapi dakwaan dalam 'Pita Lingam', latar belakang menunjukkan benar peguam berkenaan VK Lingam dan seorang lagi yang disebut ialah Fairuz, kata Kit Siang.
Bagi Kit Siang, tiga orang panel bebas ini tidak berkuasa dan kehadiran Tan Sri Haidar Mohd Noor mengepalai panel itu boleh dipertikaikan kerana adanya kepentingan politik.
Perdebatan menjadi hangat apabila Kit Siang dan Karpal menyatakan bahawa berikutan pendedahan skandal kehakiman dalam Pita Lingam itu, ia menunjukkan bahawa betapa teruknya sistem kehakiman di negara ini.
Bagi dua ahli parlimen DAP itu, badan kehakiman di negara ini telah dipengaruhi oleh kuasa Eksekutif (Menteri) semata-mata untuk menutup pelbagai skandal lain yang membabitkan pemimpin.
Malangnya hingga kini keresahan rakyat terhadap ketidaktelusan badan kehakiman tidak mendapat perhatian oleh kerajaan yang masih meneruskan amalan mencampuri badan kehakiman.
Dalam perdebatan itu itu Nazri dikritik kerana menjadi alat kepada Ahmad Fairuz untuk menjawab bagi pihak Ketua Hakim Negara itu dalam menafikan dakwaan pembabitan dengan skandal kehakiman 'Pita Lingam'.
Perdebatan berlanjutan hingga tuduh menubuh berlaku antara Nazri, Kit Siang dan Karpal hingga beberapa ahli Parlimen lain turut sahit menyahut.
Perdebatan berlanjutan hingga jam 1.00 petang menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Yusof Yaacob menghentikan sidang kerana waktu sidang sebelah pagi tamat.
No comments:
Post a Comment