GEORGETOWN: Seorang pengurus bank yang dituduh memandu secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan Pengerusi DAP, Karpal Singh, mengaku bersalah atas pertuduhan itu, semalam.
Lay Yee Fuat, 46, membuat pengakuan itu ketika kes dibicarakan di hadapan Majistret Ooi Sheow Yean.
Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad kemudian meminta laporan perubatan Karpal dijadikan sebagai bahan bukti.
Bagaimanapun peguam Lay, M Bala, membantah permohonan Azizah itu, dengan menyebut laporan perubatan tiada kaitan dengan kes kerana ia tidak membabitkan kes jenayah sebaliknya kes saman.
Azizah mempertahankan permintaannya itu kerana laporan perubatan dapat membuktikan kecederaan yang dialami mangsa.
Ooi kemudian mencelah dengan menyebut terpulang kepada pihak pendakwaan untuk mendapatkan laporan perubatan kerana pendakwaan berhak berbuat demikian.
Lay yang berbaju putih dan berseluar gelap, dituduh memandu secara cuai dan mendatangkan kecederaan kepada Karpal di Jalan Utama, jam 12.15 tengah malam, 29 Januari 2005.
Sabit kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum setahun penjara atau denda maksimum RM10,000.
Peguam R S N Rayer hadir sebagai peguam pemerhati Karpal.
No comments:
Post a Comment