Tue | Oct 30, 07 | 11:47:45 am MYT
Membaca wawancara dengan Menteri Besar Perlis di dalam Mingguan Malaysia 28 Oktober 2007 terasa seperti membaca wawancara dengan seorang 'ahli agama' tersohor, ditambah dengan penampilan fotonya yang sedikit berjanggut dan bermisai nipis yang mungkin bertujuan supaya kelihatan lebih serasi dengan penampilan seorang 'ahli agama'.
Penampilannya sebelum ini tidak begitu. Dia bermisai tebal dan tidak berjanggut dan kelihatan agak cengih. Ini adalah gaya baru Shahidan supaya dia kelihatan lebih Islamik.
Shahidan juga acap kali tampil dengan jubah terutamanya ketika berdamping dengan mufti mudanya. Penampilan berjubah ketika dia menghadapi Dato’ Dr Harun Din dalam kempen pilihanraya 2004 yang lalu adalah perkara biasa.
Jubahnya mengalahkan jubah bekas calon PAS untuk Parlimen Arau itu. Namun, sehingga kini saya belum pernah nampak Shahidan menggayakan serban, menyampaikan kuliah pagi Jumaat di mana-mana masjid di Perlis atau mengimamkan solat sunat Tarawikh seperti bosnya PM Abdullah Ahmad Badawi.
Kalau dia melakukan begitu, pemimpin Umno Perlis yang lain akan terus menggigit jari untuk memanaskan kerusi MB Perlis kerana mereka semua dilihat tidak sinonim dengan penampilan 'orang agama' seperti Shahidan.
Shahidan lulus Bahasa Arab PMR
Wawancara ini menarik perhatian saya kerana Shahidan adalah pemimpin Umno yang diketahui umum bukan berlatar belakang pendidikan agama formal.
Saya tidak menafikan bahawa dia membaca buku-buku agama dan mendapat penjelasan mengenai perkara-perakara agama daripada mufti mudanya itu. Paling penting, dia adalah Ahli Majlis Tertinggi parti sekular Umno, Ketua Perhubungan Umno juga Pengerusi Barisan Nasional Perlis.
Saya sedikit pun tidak tertarik untuk memberi respon sekiranya individu yang diwawancarai itu adalah Dato' Dr Abdullah Mat Zin atau Dato' Dr Masyitah Ibrahim.
Namun, Shahidan yang lulus Bahasa Arab PMR, dilihat lebih terkehadapan bercakap topik agama berbanding kedua-dua pemimpin Umno tadi.
Saya percaya Shahidan akan lebih lantang bercakap mengenai agama kalau dia memegang potfolio Biro Agama Umno dan saya yakin usahanya untuk meng’Ahlus Sunnah’kan pemimpin Umno akan menjadi lebih berkesan.
Malah dia lebih lantang bersuara isu-isu agama berbanding PM Abdullah sendiri walau pun PM berdarah ulama.
Atas nama kembali kepada ajaran Rasulullah saw dan para sahabat, Shahidan pun dengan beraninya menghunus keris dengan satu misi besar, 'memerangi bidaah'. Keberanian Shahidan ini tentulah berasas kerana dia kini diapit oleh seorang mufti muda yang menyokong kuat Islam Hadhari.
Mufti muda ini kelihatan lebih gemar membangkitkan persoalan-persoalan kecil yang menjadi perselisihan para ulama mujtahidin yang pada pandangannya bercanggah dengan amalan Rasulullah saw.
Amalan membaca Yasin malam Jumaat, ber'usolli', tahlil arwah, berdoa beramai-ramai selepas solat diserang bertubi-tubi, seolah-olah itulah amalan yang meruntuhkan aqidah umat Islam hari ini.
Mereka yang mengamalkan itu semua pernah dilabel sebagai pendokong bidaah yang mewajarkan mereka di azab di akhirat.
Keberanian Shahidan sampai ketahap memperlekehkan para mufti negeri lain. Dia sanggup membawa mereka semua melawat Iran untuk membuktikan bahawa amalan agama di negeri mufti-mufti itu adalah sama dengan Syiah di sana.
Mereka juga digesa supaya tidak mengguna pakai mana-mana hadis tanpa merujuk mengenai statusnya. Wah, hebat. Mafhumnya, amalan para pembesar, Mufti, Kadhi dan rakyat negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Melaka bahkan Singapura juga seandainya republik itu masih di dalam Malaysia, bagi Shahidan adalah sama dengan Syiah di Iran.
Beliau juga mahu memastikan selepas ini semua AJK Bahagian Umno di Perlis juga adalah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Adakah mereka sekarang ini ada yang bukan begitu?
Semua tahu Umno parti sekular
Rakyat Perlis terutamanya pemimpin dan ahli Umno kenal benar dengan Shahidan. Mereka bukan sekadar mengenalinya sebagai orang nombor satu parti sekular Umno Perlis, malah lebih daripada itu. Mereka tahu latar belakangnya bahkan mereka saling berbisik sesama sendiri mengenai wataknya yang sebenar di belakangnya.
Mungkin ada mencium tangannya ketika menyalaminya, tetapi di belakangnya mereka siap mengasap keris untuk menjatuhkannya. Kalau Shahidan pakai serban sekali pun, mereka boleh membaca apa isi kepala Shahidan yang dibalut serban itu.
Kalau dia pakai jubah pun, mereka tahu irama degup jantung di dalam tubuhnya yang dibalut jubah itu.
Semua orang tahu juga, Umno pimpinan PM Abdullah Ahmad Badawi adalah parti sekular. Pemimpin parti sekular itu bukan sekadar menggadai maruah bangsa dan negara, tetapi maruah agama.
Pemimpin nombor satu parti sekular Umnolah yang memperkenalkan Islam Hadhari dan memaksa rakyat menerimanya, sehingga diterima oleh Samy Vellu dan Karam Singh Walia walau pun ditolak oleh Tun Dr Mahathir dan Allahyarham Tun Ghafar Baba.
Shahidan pula bermatian-matian untuk kembali kepada al-Quran dan hadith, jalan nabi dan jalan para sahabat.
Adakah Shahidan lupa, Islam Hadhari yang didokong bersama mufti mudanya itu, adakah bersumber daripada al-Quran dan sunnah? Adakah ia jalan para nabi dan sahabat? Bukankah Islam Hadhari adalah bidaah?
Umat Islam Malaysia hari ini berhadapan dengan pelbagai ancaman. Rasuah menjadi musuh nombor satu negara di samping penyalahgunaan dadah.
Gerakan memurtadkan atau merenggangkan umat daripada pegangan agama bergerak dengan tersusun. Jenayah semakin membimbangkan. Pelajar sekolah yang tidak tahu solat bahkan mengucap adalah kritikal. Sensitiviti umat terhadap agama makin menipis.
Bara konflik antara agama menanti hari untuk menyala. Sentimen perkauman semakin meruncing. Sistem pendidikan makin celaru. Alam sekitar makin punah. Demokrasi dicabul. Para penguasa pula bingkas memperkemas langkah memenuhkan tembolok masing-masing.
Dalam situasi genting sebegini, Shahidan mengambil kesempatan melonjakkan populariti dirinya menjadi penentang apa yang dianggapnya sebagai bidaah, dengan alasan membawa masyarakat kembali kepada al-Quran dan sunnah. Yang rosak adalah enjin, tetapi yang dibaiki adalah tayar.
Besar sangatkah bahaya ber'usolli' berbanding bahaya rasuah? Keji benarkah tahlil arwah berbanding menolak hukum Allah?
Arak dan judi dijual secara terbuka di Kangar
Ramai bersuara mengenai salah guna kuasa pemimpin dalam pengurusan wang Baitul Mal Perlis, adakah berdoa beramai-ramai selepas solat lebih buruk daripada itu?
Shahidan seperti lupa, dalam keghairahannya itu, dia sepatutnya membetulkan dulu pemimpin nombor satu parti sekular Umno dengan memastikan PM Abdullah Badawi menyuruh isterinya menutup aurat.
Bukankah itu ajaran al-Quran? Shahidan juga perlu memastikan para perenang negara memakai pakaian mengikut landasan al-Quran kerana dia adalah Presiden Persatuan Renang Malaysia. Shahidan juga Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, atlit naungan persatuan itu macam mana?
Agaknya semua sudah bertudung seperti Siti Ruqaiya yang menjadi ratu pecut Sukan Aisa di Doha 2006 yang lalu? Apakah Shahidan tidak nampak, di Kangar masih bersepah dengan kedai empat nombor ekor dan judi toto? Adakah itu menepati al-Quran?
Arak dijual secara terbuka di berbagai premis perniagaan di bandar Kangar, adakah Shahidan perasan? Kalau Shahidan benar-benar serius untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah, mengapa tidak dibentangkan dan diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri Perlis undang-undang hudud dan qisas, selepas tiga penggal dia berkuasa? Bukankah kedua-duanya adalah undang-undang al-Quran dan menepati sunnah? Poooraahhhh!
Perkara-perkara yang menjadi perselisihan di kalangan para ulama mujtahidin semenjak ratusan tahun itu sengaja digembar-gemburkan di tengah-tengah masyarakat untuk melekakan dan mengalih perhatian mereka daripada realiti kehidupan.
Masyarakat sedang sakit tetapi mereka disuntik dengan ubat pelali oleh pemimpin parti sekular Umno. Mereka sakit dengan kenaikan harga barangan yang melampau, kos hidup yang semakin mencekik dan hak mereka yang dirampas.
Dalam masa yang sama pemimpin parti sekular Umno hidup maha mewah. Tol, tarif eletrik dan minyak sudah menyeringai siungnya untuk membaham rakyat Malaysia lagi pada tahun hadapan. Apakah Shahidan kisah dengan semua itu?
Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006 yang mendedahkan mengenai penduduk Kampong Air Timbul, Kubang Tiga yang masih menggunakan air perigi dan hanya bergantung kepada paip tepi jalan untuk air minuman selepas 50 tahun merdeka dan selepas tiga penggal Shahidan jadi Menteri Besar, hanya dipandang dengan sebelah mata sahaja.
Bagi Shahidan mudah saja, panggil mereka semua ke rumahnya dan hulurkan RM100, selesai. Apa nak jadi dengan kehidupan mereka selepas itu, bukan lagi keutamaan. Yang penting selepas solat jangan baca doa beramai-ramai dan kalau ada kematian jangan adakan tahlil arwah.
Pemimpin Umno adalah pemimpin politik serba boleh, kerana parti sekular itu memang berkiblatkan faham Machiavelli.
Di mana ada peluang di situ mereka mencelah. Mereka selicin daripada belut, tetapi seganas singa.
Shahidan adalah jenis manusia sebegitu. Saya percaya, Shahidan tidak akan menjadikan apa yang dilakukannya sekarang sebagai keutamaan kalau dia menjadi Menteri Besar Selangor atau Melaka.
Dia akan menjadi orang yang paling kuat mempertahankan sekolah agama rakyat kalau dia menjadi MB Kelantan. Persoalan ‘khilafiah’ ini tentu tidak dibangkitkan kalau dia jadi MB Kedah.
Tapi, dia adalah MB Perlis, dan kebetulan semenjak sekian lama Perlis dilihat dominan dengan persoalan itu. Shahidan perlu menjadi juara untuk memastikan survival politiknya terus bernafas.
Kalau Shahidan boleh melambung Tun Dr Mahathir setinggi gunung ketika orang itu berkuasa, dia juga boleh menjulang PM Abdullah Badawi sebegitu hari ini. Kalau Shahidan boleh menyepak meja atau menendang kerusi untuk memastikan dirinya terus terpilih sebagai Menteri Besar Perlis, adakah dia merasa bersalah untuk melakukan apa yang sedang dilakukannya pada hari ini?
Saya juga percaya Khir Toyo akan jadi seperti Shahidan kalau dia jadi Menteri Besar Perlis. Begitu juga Mohamad Hasan dari Negeri Sembilan.
Mereka semua sama seperti PM Abdullah Ahmad Badawi, pada awalnya berikrar memerangi rasuah habis-habisan tapi menikus apabila berhadapan dengan Musa Aman, Abdul Taib Mahmud dan Mohd Johari Baharom.
Pemimpin Umno seperti sesumpah, berkulit hijau bila berada dipohon berdaun hijau dan berkulit merah apabila berada dirimbunan daun merah. Jelas, kumpulan sesumpah inilah yang memperalatkan agama untuk kepentingan politik mereka.
Mereka bukan berpolitik kerana Islam dan demi Islam, tetapi berpolitik kerana kocek dan demi perut. - mks.
No comments:
Post a Comment